Ahli keluarga Rothschild maut kebakaran

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara ketika bomba cuba mengawal api daripada terus marak. Foto Agensi
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara ketika bomba cuba mengawal api daripada terus marak. Foto Agensi
A
A
A

LOS ANGELES - Seorang ahli keluarga terkenal Rothschild terkorban dalam kebakaran menggemparkan di Hollywood Hills, Amerika Syarikat (AS).

Jabatan Bomba Los Angeles telah melancarkan siasatan terhadap insiden di Blok 8500 Lookout Mountain Avenue pada Rabu lalu.

Mayat dipercayai jutawan perbankan, Will Rothschild berusia dalam lingkungan 80-an ditemui setelah api berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 33 minit dan punca kebakaran itu masih disiasat.

Seorang jirannya, Jim Moore menzahirkan rasa sedih terhadap insiden itu.

"Beliau adalah seorang lelaki yang baik," katanya.

Kebakaran itu disedari seorang jiran setelah dia terhidu bau objek terbakar dan kaca pecah di seberang jalan.

"Api kemudiannya marak dengan cepat," menurut beberapa saksi lain.

Menurut Zillow, harga dua bilik tidur dan sebuah bilik air di kediaman itu dianggarkan bernilai AS$1.07 juta (RM5.07 juta).

Artikel Berkaitan:

Kematian tragis itu berlaku beberapa bulan selepas Lord Jacob Rothschild meninggal dunia pada usia 87 tahun.

Keluarga Rothschild berketurunan Britain-Jerman mempunyai pengaruh yang besar sejak abad ke-15 dan menguasai bidang perbankan di seluruh Eropah terutamanya di England dan Perancis.

Laporan Sunday Times pada tahun lalu mendapati hasil kekayaan mereka meliputi pelbagai bidang termasuk hartanah, perlombongan dan tenaga dianggarkan bernilai 825 juta pound (RM4.65 bilion). - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!