Seolah-olah berada di sungai, warga emas syukur diselamatkan

Anggota JBPM menggunakan bot bagi menyelamatkan mangsa banjir berhampiran Simpang Jelai, Jalan Tampin-Gemas pada Jumaat. Foto Bernama
Anggota JBPM menggunakan bot bagi menyelamatkan mangsa banjir berhampiran Simpang Jelai, Jalan Tampin-Gemas pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

TAMPIN - "Syukur dapat diselamatkan, dah rasa macam duduk di tengah-tengah sungai.” Demikian luah seorang warga emas yang diselamatkan pasukan penyelamat selepas beberapa jam terperangkap dalam rumah di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas di sini yang dikelilingi air sedalam kira-kira dua meter.

Hashimah Ali, 65, menyifatkan banjir kali ini lebih besar berbanding kejadian sama yang meragut nyawa suaminya Rosli Roslan, 66, berikutan serangan jantung ketika meredah air untuk ke kandang ternakan dua tahun lepas.

"Arwah suami meninggal dunia di sini pada 1 Januari 2022, memang teringatkan dia tetapi tidaklah trauma sebab memang dah jangka akan berlaku banjir cuma tidak sangka kali ini sangat teruk berbanding dua tahun lepas.

"Pada 3.30 pagi tadi mak cik sedar rumah dinaiki air selepas hujan berterusan. Mak cik telefon kawan sebab tak dapat keluar kerana sekeliling rumah sudah dinaiki air, rasa macam duduk di sungai. Rasa lega bila nampak anggota bomba datang untuk bantu pindahkan mak cik serta anak,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gedok di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Mohd Azhari Mohd Diah, 56, berkata, 80 peratus daripada keseluruhan 317 rumah di kawasan itu dinaiki air selepas hujan berterusan selama enam jam dan turut menyifatkan banjir kali ini lebih teruk berbanding dua tahun lepas.

"Pada 2022 dua daripada 14 lorong rumah di kawasan belakang dinaiki air tetapi kali ini 12 lorong rumah terjejas. Siren pertama dibunyikan kira-kira 2.30 pagi tadi, kami semua sudah berkemas dan buat persediaan sewajarnya tetapi tidak sangka air naik sangat cepat.

"Sementara menunggu diselamatkan ke PPS kami sempat gotong-royong memasak mana yang ada. Pada masa depan, jika berlaku lagi kejadian banjir seperti ini agensi berkaitan perlu datang sebelum air naik ke jalan raya untuk beri bantuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menyelamatkan 36 pekerja di sebuah ladang ternakan ayam di Gemencheh di sini yang terperangkap dalam banjir selepas menerima maklumat pada 9.50 pagi.

Artikel Berkaitan:

Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Yazid Yaakob berkata, mangsa terdiri daripada 33 lelaki warga asing serta tiga wanita tempatan dan mereka telah dibawa ke PPS SK Gedok.

Beliau berkata, 11 anggota termasuk pegawai bersama dua jentera, dua bot dan sebuah lori HICOM bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan kerja menyelamat selesai pada 1.10 tengah hari. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!