Tanah runtuh: Jiran dengar laungan suara minta tolong
HULU TERENGGANU - Saksi pertama kejadian tanah runtuh yang menimpa sebuah rumah dekat Kampung Bukit Apit, Ajil di sini sempat mendengar suara laungan meminta tolong namun tidak mampu berbuat apa-apa.
Saksi kejadian, Danial Arabi, 36, berkata, dia menjadi individu pertama yang mengetahui insiden tanah runtuh tersebut.
"Waktu kejadian saya sedang berehat dan dikejutkan dengan bunyi dentuman. Saya bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.
“Sebaik keluar, saya melihat tanah runtuh yang menghempap tiga rumah termasuk rumah dihuni mereka enam beranak.
"Saya dengar suara mangsa meminta tolong namun saya tidak dapat buat apa-apa kerana tidak tahu di mana mereka berada ketika itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini.
Menurut Danial, ketika berada di lokasi kejadian dia ternampak seorang mangsa dihempap tanah runtuh selain mendengar suara meminta tolong.
“Waktu tu saya panik dan segera menelefon polis serta bomba untuk memaklumkan kejadian,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan tiga mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di sini.
Pihak bomba menerima panggilan jam 4.59 petang sebelum pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai dikejarkan ke lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!