Nigeria dilanda penyakit misteri
LAGOS - Kerajaan Nigeria sedang giat mengenal pasti penyakit aneh yang menyebabkan kematian di utara Benue, lapor agensi berita Xinhua memetik seorang pegawai semalam.
Ketua Pusat Kawalan Penyakit Nigeria (NCDC), Chikwe Ihekweazu berkata, punca penyakit itu belum dapat dikenal pasti dan Pasukan Tindak Balas Pantas Negara akan membantu kerajaan negeri untuk menyiasat punca penyakit yang membawa kematian di Obi itu.
Kawasan itu terjejas disebabkan penyakit misteri yang melanda sejak tiga minggu lalu mengorbankan empat orang.
Senator yang mewakili daerah Selatan Benue Abba Moro berkata, 15 orang meninggal dunia akibat penyakit misteri itu manakala 104 lagi dimasukkan ke hospital.
Beliau berkata, sampel air telah diambil untuk menguji kemungkinan penyakit itu disebabkan keracunan kimia, kematian terakhir dilaporkan pada 7 Februari.
"Kami sedang memantau pesakit. Ujian untuk mengenal pasti sama ada ia akibat demam Lassa dan demam Kuning dan keputusannya negatif. Jadi, kami masih menunggu keputusan akhir," kata Ihekweazu.
Kerajaan negeri akan mengambil sampel air, pasir, ikan, dan tumbuhan di Oye Obi untuk diuji di luar negeri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!