Kediaman rasmi MB Kedah turut terjejas banjir

Kediaman MB Kedah terletak kira-kira 100 meter dari tebing Sungai Anak Bukit telah mula dimasuki air pada awal pagi Jumaat. Foto Zukifli Yahaya
Kediaman MB Kedah terletak kira-kira 100 meter dari tebing Sungai Anak Bukit telah mula dimasuki air pada awal pagi Jumaat. Foto Zukifli Yahaya
A
A
A

ALOR SETAR - Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Seri Mentaloon, di sini turut terjejas akibat banjir yang melanda beberapa daerah termasuk Alor Setar.

Kediaman rasmi tersebut yang terletak kira-kira 100 meter dari tebing Sungai Anak Bukit telah mula dimasuki air pada awal pagi Jumaat.

Menurut Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid, air dari sungai tersebut terlebih dahulu memasuki kuarters kediaman kakitangan yang terletak berdekatan.

"Paras air terus meningkat hingga memasuki ruang tamu, dapur, dan ruang makan kediaman rasmi. Paras air di dapur telah mencecah 0.5 meter.

"Setakat ini, banjir tidak menjejaskan surau, Dewan Melur, dan Dewan Seri Mentaloon yang terletak di pekarangan kediaman rasmi," katanya pada Jumaat.

Helmi berkata, Muhammad Sanusi Md. Nor bersama keluarganya masih kekal menginap di kediaman rasmi dua tingkat tersebut.

Tambahnya, kejadian kediaman rasmi MB Kedah ini dinaiki air bukan kali pertama berlaku.

"Kejadian ini pernah berlaku pada banjir besar tahun 2010. Banjir pada September lalu juga menyebabkan air masuk ke kediaman rasmi tapi keadaan banjir kali ini lebih teruk," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di kawasan sekitar Seri Mentaloon, terdapat penduduk meletakkan kenderaan di tepi jalan utama berikutan banjir yang melanda kawasan itu.

Di beberapa kawasan lain termasuk Anak Bukit, air sungai turut melimpah ke jalan utama menyebabkan hanya dua daripada empat lorong boleh digunakan oleh kenderaan ringan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!