Sinar Harian rangkul lima Anugerah Kecemerlangan Media KPKT
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sinar Harian berjaya merangkul lima Anugerah Kecemerlangan Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2024 di Hotel JW Marriott di sini pada Jumaat.
Wartawan, Salmiah Druhamad Drahsin, Rizal Rozy, Mohd Nasarudin Talkah serta Muhammad Syarin Khairi memenangi tempat pertama bagi kategori 'Content' Media Sosial Terbaik menerusi dokumentari bertajuk 'Penyewa Menanti Mati' membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi.
Mereka turut merangkul Anugerah Video Popular dan membawa pulang wang tunai RM3,000 serta trofi.
Sementara itu, video berjudul 'Tauke Naik Hantu' oleh Salmiah, Rizal, Nor Fatin Fatihah Husain dan Muhammad Hafiz Adnan meraih tempat kedua kategori Video Dalam Talian Terbaik dengan membawa pulang RM2,000 dan trofi.
Selain itu, laporan khas 'Bilik Sewa Sangkar Burung' oleh Nurul Nabila Ahmad Halimy, Mohd Shamsul Abd Ghani dan Liza Mokhtar bagi kategori Penerbitan Artikel Terbaik merangkul tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM2,000 serta trofi.
Laporan khas bertajuk 'Tangki Air Bangkai' oleh Nor Syamira Liana Nor Ashaha berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori sama dengan membawa pulang RM1,000 serta trofi.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli menzahirkan penghargaan kepada semua kumpulan editor dan wartawan yang berjaya menghasilkan karya terbaik untuk akhbar itu.
"Alhamdulillah, tahun ini kita menang besar kerana dapat lima anugerah dalam beberapa kategori. Saya rasa sebenarnya untuk kemenangan besar malam ini perancangan di peringkat semua unit.
"Editor, ketua wartawan dan wartawan memang sudah merancang untuk menghasilkan kandungan terbaik dan malam ini hasilnya.
"Saya nak ucapkan tahniah kepada semua kerana sentiasa berusaha untuk berkarya atau menghasilkan laporan khas yang kreatif walaupun saya tahu memang sangat mencabar terutamanya laporan berbentuk penyiasatan," katanya ketika ditemui selepas majlis anugerah itu di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Salmiah ketika ditemui berkata, kemenangan yang diraihnya merupakan kemenangan bersama kumpulan dan penutup terbaik bagi tahun ini.
"Alhamdulillah, ini adalah kemenangan bersama dan penutup terbaik bagi tahun 2024.
"Semoga kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus menghasilkan dokumentari berimpak tinggi kepada masyarakat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!