Covid-19: Kementerian Pelancongan berusaha bantu pemain industri
KOTA KINABALU - Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia akan berusaha mencari jalan dan inisiatif membantu para pemain industri pelancongan di negara ini yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kementeriannya menyedari bahawa banyak masalah yang dihadapi pemain industri pelancong pada ketika ini sehingga menyebabkan pendapatan mereka menurun.
“Kita telah mengadakan beberapa siri pertemuan dan perbincangan bersama pemain-pemain industri pelancongan, dan banyak masalah yang mereka utarakan termasuk penurunan sehingga 30 peratus ke tempat-tempat penginapan mereka.
“Apabila pengunjung kurang maka pendapatan juga akan jatuh menyebabkan banyak masalah lain yang timbul seperti masalah bayaran balik pinjaman kepada pemain industri yang masih mempunyai pinjaman di bank,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) ‘Adventure Travel Conference and Mart 2020’ di sini hari ini.
Mohamaddin berkata, pihaknya juga akan meminta syarikat perbankan agar memberikan kelonggaran kepada syarat pembayaran balik pinjaman sehingga masalah wabak Covid-19 itu selesai.
“Industri pelancongan di Malaysia serta di seluruh dunia telah diuji dengan satu cabaran besar kerana wabak Covid-19. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyokong dan membantu antara satu sama lain,” katanya.
Mengulas mengenai persidangan tiga hari itu, beliau berkata, ia dihadiri 368 peserta daripada 33 negara bukan sahaja dari Asia tetapi juga Eropah Timur antaranya Bulgaria, Poland, Republic Czech dan Hungary yang berkumpul untuk berbincang mengenai industri pelancongan dan pengembaraan.
“Persidangan ini sangat bermakna, kerana ia dapat membantu kempen Tahun Melawat Malaysia 2020. Kempen ini memberi tumpuan kepada ekopelancongan, seni dan budaya selaras dengan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
“Kita berharap melalui persidangan ini dapat lebih menyerlahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan... kita juga berharap dapat mempromosi dan menawarkan pakej pelancongan kita kepada rakan dari luar negara,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!