Hujan lebat ancam 'bandar khemah'

Kawasan sekitar khemah sementara penduduk Palestin kini berlumpur dan dipenuhi lopak air.
Kawasan sekitar khemah sementara penduduk Palestin kini berlumpur dan dipenuhi lopak air.
A
A
A

BANDAR GAZA - Ayman Siam mendirikan blok konkrit di sekeliling khemah yang menjadi tempat berlindung keluarganya bagi mengelakkan ia ditimpa hujan lebat berterusan sejak awal minggu lalu.

“Tiga hari lalu, kami sekeluarga basah kuyup. Sekurang-kurangnya blok konkrit ini dapat melindungi anak dan cucu saya daripada terus dibasahi hujan,” katanya yang kini mendiami 'bandar khemah' di Stadium Sukan Yarmuk di Bandar Gaza bersama ribuan keluarga Palestin yang hilang tempat tinggal.

Kawasan padang kini berlumpur dan berlopak, sekali gus menambah lagi kesengsaraan mereka yang menderita akibat peperangan tiada kesudahan.

Seorang penduduk Palestin cuba menahan khemah diterbangkan angin kuat di Deir al-Balah.
Seorang penduduk Palestin cuba menahan khemah diterbangkan angin kuat di Deir al-Balah.

Bagi mengelakkan khemah yang menjadi rumah mereka tenggelam, beberapa pemuda Palestin dilihat menggali parit kecil dan melakukan apa sahaja untuk mengelakkan air daripada memasuki tempat berlindung masing-masing.

Ada yang menggunakan penyodok untuk mengalirkan air terus ke longkang.

Majoriti 2.4 juta penduduk Gaza terpaksa berpindah-randah lebih lima kali sepanjang 14 bulan lalu dan ketibaan musim sejuk sekali lagi mengundang resah golongan tersebut.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam, Mahmud Bassal berkata, ratusan ribu yang hilang tempat tinggal terutamanya di tengah dan selatan kini berdepan penderitaan baharu kerana khemah mereka ditenggelami banjir.

Artikel Berkaitan:

“Saya merayu kepada komuniti antarabangsa supaya menghantar bantuan dan bekalan khemah buat penduduk Gaza,” ujarnya.

Dua kanak-kanak mengangkut pasir untuk membuat beg pasir sebagai benteng penghalang banjir.
Dua kanak-kanak mengangkut pasir untuk membuat beg pasir sebagai benteng penghalang banjir.

Semakin terdesak

Sejak beberapa minggu lalu, agensi bantuan telah menyuarakan kebimbangan tentang situasi yang semakin meruncing menjelang ketibaan musim sejuk.

“Ia bakal menjadi malapetaka dahsyat. Penduduk Gaza tiada keperluan asas untuk meneruskan hidup. Mereka semakin terdesak,” tegas Pegawai Kecemasan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Louise Wateridge.

Musim hujan di Gaza biasanya bermula pada akhir Oktober hingga April manakala Januari menjadi bulan paling lembab kerana menerima taburan hujan 30 hingga 40 milimeter.

Suhu ketika musim sejuk pula boleh menjunam sehingga enam darjah Celsius.

Hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang memburukkan lagi kesengsaraan penduduk Gaza yang mendirikan 'bandar khemah' berhampiran pantai.
Hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang memburukkan lagi kesengsaraan penduduk Gaza yang mendirikan 'bandar khemah' berhampiran pantai.

Hujan berterusan telah menenggelamkan ratusan khemah berhampiran pantai di Deir al-Balah di tengah Gaza, Khan Yunis dan Rafah di selatan wilayah tersebut.

Auni al-Sabea yang mendiami 'bandar khemah' al-Shati di Deir al-Balah antara yang terpaksa menghadapi musim sejuk dalam keadaan tanpa pakaian atau selimut tebal

“Hujan tanpa henti dan air pasang telah menyebabkan khemah kami digenangi air. Barangan asas seperti tilam dan selimut yang masih tinggal telah dibawa arus banjir,” katanya dalam nada sebak.

Beberapa lelaki menggali laluan air banjir di al-Zaywayda di tengah Genting Gaza.
Beberapa lelaki menggali laluan air banjir di al-Zaywayda di tengah Genting Gaza.

Al-Sabea bersama keluarganya yang tinggal sehelai sepinggang kini terpaksa berlindung di tepi jalan.

Di Stadium Sukan Yarmuk, Umm Ahmed Saliha menunjukkan air yang bertakung di bawah khemah dihuni keluarganya.

“Keadaan sudah seteruk ini meskipun musim sejuk belum bermula secara menyeluruh”, menurutnya. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!