Tak relevan guna balik nama Universiti Pertanian - Alumni UPM

Gambar kecil: Abdul Mua'ti
Gambar kecil: Abdul Mua'ti
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penukaran semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia dianggap tidak relevan memandangkan kini terdapat pelbagai bidang pengajian ditawarkan, bukanlah memfokuskan kepada pertanian semata-mata.

Alumni UPM, Datuk Dr Abdul Mua'ti @Zamri Ahmad secara peribadi berpendapat, nama Universiti Pertanian jika ditukar semula sebenarnya tidak menggambarkan keseluruhan pengajian ditawarkan UPM ketika ini.

"Walaupun masih mengekalkan program dan juga fakulti sesetengahnya dalam bidang pertanian tetapi oleh kerana ada bidang lain, maka tak kenalah bagi pandangan saya kalau nak patah balik pula bagi nama Universiti Pertanian," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Abdul Mua'ti, seeloknya nama UPM dikekalkan seperti sedia ada yang mana kini telahpun dikenali dan diiktiraf di seluruh dunia.

Jelasnya, nama UPM ditukar pada tahun 1997 kerana dikatakan secara rasional adalah dekat dengan pusat pentadbiran negara, Putrajaya selain mengambil nama sempena Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra.

"Jadi, tak ada keperluan pun untuk tukar ke nama lain jika nama sedia ada dah sesuai menggambarkan sifat program yang komprehensif di UPM.

"Kalau tukar ke pertanian, hanya mewakili empat fakulti daripada keseluruhan fakulti yang ada di UPM hari ini," katanya.

Beliau menjelaskan, pada peringkat awal, program yang ditawarkan adalah berteraskan pertanian berbanding kini telah berkembang meliputi pelbagai bidang termasuklah Kejuruteraan, Perubatan, Komunikasi, Ekologi Manusia dan Teknologi Maklumat.

Artikel Berkaitan:

"Bermula dengan Kolej Pertanian dulu, kemudiannya kita disatukan dengan Fakulti Pertanian Universiti Malaya, menjadilah Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1971, jadi pada waktu itu memang kursus ataupun program pengajian yang ada, semuanya berteraskan pertanian," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kini, kesemua fakulti yang ditawarkan UPM telah berkembang atas sifat semulajadi bidang-bidang berkenaan selain mengambil kira keperluan terhadap permintaan tenaga kerja negara.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan untuk menukar semula nama UPM kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.

Mohamad berkata, beliau sendiri akan membawa cadangan itu ke Mesyuarat Kabinet tidak lama lagi, selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.

Senarai fakulti dan sekolah di UPM

1) Fakulti Pertanian (FP)

2) Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS)

3) Fakulti Perubatan Veterinar (FPV)

4) Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE)

5) Fakulti Kejuruteraan (FK)

6) Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP)

7) Fakulti Sains (FS)

8) Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM)

9) Fakulti Ekologi Manusia (FEM)

10) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK)

11) Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB)

12) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK)

13) Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM)

14) Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB)

15) Sekolah Pengajian Siswazah (SGS)

16) Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan

17) Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains

(Sumber Wikipedia)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!