Jokowi menang, Megawati kalah?

Megawati (kiri), Jokowi
Megawati (kiri), Jokowi
A
A
A

TERNYATA pengaruh mantan presiden Joko Widodo (Jokowi) masih kuat. Calon-calon yang didukungnya memang besar khususnya di Pulau Jawa.

Malah di beberapa wilayah pertarungan dalam Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) 2024 kali ini hasilnya cukup memeranjatkan.

Ambil sahaja Pemilihan Umum Gabenor (Pilgub) untuk Jawa Tengah (Jateng). Pertarungan antara pasangan calon (paslon) Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dengan paslon yang disokong oleh Koalisi Indonesia Maju (KIM) memang dijangka sengit.

Pertandingan sebenar adalah antara Jokowi dan Ketua Umum (Ketum) PDI-P, Megawati Sukarnoputri (Ibu Mega).

Bagi PDI-P, ini merupakan pertandingan kalah mati. Maruah Ibu Mega dipertaruhkan.

Dalam Pilihanraya Presiden (Pilpres) Februari lalu, paslon PDI-P yang terdiri daripada Ganjar Pranowo dan Mahfud MD kalah di Jawa Tengah. Sedangkan Jawa Tengah secara tradisinya adalah kubu kuat PDI-P.

Tidak cukup dengan itu, Ganjar dan Mahfud hanya memperoleh 16 peratus undi popular untuk seluruh Indonesia, jauh di belakang paslon Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka (58 peratus) dan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar (26 persen).

Lebih terpukul lagi kerana Ganjar sendiri pernah menjadi Gabenor Jawa Tengah selama dua penggal.

Artikel Berkaitan:

Calon PDI-P untuk Jawa Tengah dalam Pilkada 2024 bukan sembarangan orang. Andika Perkasa adalah mantan jeneral Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan pasangannya, Hendrar Prihadi adalah mantan Wali Kota Semarang.

KIM pula mengetengahkan Ahmad Luthfi yang pernah menjawat Ketua Polis Daerah (Kapolda) Jawa Tengah dan Taj Yassin Maimoen yang merupakan mantan Timbalan Gabenor Jawa Tengah.

Persaingan sengit itu ditambah oleh ramalan dari pelbagai lembaga survey yang rata-rata memenangkan Andika-Hendrar.

Namun keputusan akhirnya, berdasarkan kiraan cepat (quick count) di semua Tempat Pembuangan Suara (TPS) memperlihatkan Ahmad Luthfi-Taj Yassin unggul dengan lebih 58 peratus undi.

Pada waktu yang sama, paslon yang dijuarai Jokowi di Solo, Respati Ardi dan Astrid Widayani menang besar. Mereka menentang Wali Kota bertahan atau incumbent (istilah Bahasa Indonesia adalah petahana), Teguh Prakosa dan pasangannya, Bambang Nugroho.

Hal yang sama berlaku di Jawa Timur (Jatur), Jawa Barat (Jawa Barat) dan Banten.

Di Jawa Timur terdapat tiga pasangan calon untuk kedudukan Gabenor. Mereka terdiri dari wakil Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) yang terdiri daripada Luluk Nur Hamidah dan Lukmanul Khakim; Khofifah Indar Parawansa dan Emil Dardak dari Gerindra serta Tri Rismaharini dan Zahrul Azhar Asumta dari PDI-P.

Di Jawa Timur, PKB yang merupakan sebahagian dari KIM-Plus bersaing melawan calon Gerindra, parti yang dipimpin oleh Prabowo. Menarik juga bahawa kesemua calon gabenor di Jawa Timur adalah wanita.

Khofifah adalah Ketua Muslimat Nahdatul Ulama (NU) yang merupakan organisasi massa (ormas) Islam terbesar di Indonesia seperti juga Muhammadiah. Tri Rismaharini adalah mantan Menteri Sosial (Mensos) di bawah Presiden Jokowi. Calon PDI-P kalah di Jawa Timur.

Di Jawa Barat, PDI-P mencalonkan Jeje Wiradinata-Ronal Surapradja. Paslon ini menentang Acep Adang Ruhiyat dan Gitalis Dwinatarina dari PKB; Ahmad Syaikul dan Ilham Akbar Habibie dari gabungan Parti Nasional Demokrasi (Nasdem), Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP), sementara Dedi Mulyadi-Erwan Setiawan dari KIM.

Akhbar Habibie merupakan anak mantan Presiden BJ Habibie, sementara Dedi Mulyadi adalah dari parti Gerindra dan sebelum ini Bupati Purwakarto.

Calon PDI-P hanya memperoleh 10 peratus undi berdasarkan hitung cepat berbanding calon KIM yang memperoleh 61 peratus undi.

Tamparan lebih hebat bagi PDI-P adalah di Banten, wilayah di hujung Barat Pulau Jawa. Airin Rachmi Diany adalah bintang cemerlang dari Golkar. Beliau sebelum ini merupakan Wali Kota Tangerang Selatan.

Memang nama beliau dijangka dinaikkan sebagai calon Gabenor Banten. Namun demikian apabila Bahlil Lahadalia mengambil alih Golkar, namanya tidak muncul. Sebaliknya PDI-P mencadangkan nama beliau.

Akhirnya Golkar terpaksa mendukung Airin. Sekali lagi KIM tidak beroperasi di Banten. Golkar yang menjadi sebahagian KIM Airin dan pasangannya hanya memperoleh sebanyak 42 peratus undi.

Sehingga hari mengundi, hasil survey menunjukkan beliau mendahului saingannya Andra Soni yang pada mulanya hanya diletakkan di ambang 10 peratus kemampuannya untuk mendapat undi.

MEDAN TEMPUR HEBAT

Di Sumatera Utara (Sumut), pertarungannya adalah antara Bobby Nasution, menantu Jokowi dan pasangannya Surya dengan Edy Rahmayadi dan Hassan Basri Sagala.

Bobby dan Surya dari KIM memenanginya dengan 62.7 persen. Edy yang merupakan incumbent di Sumatera Utara didukung oleh PDI-P dan lima parti kecil yang lain.

Jakarta, seperti yang diduga merupakan medan tempur yang hebat dalam Pilkada 2024. PDI-P mengetengahkan Pramono Anung dan Rano Karno. PDI-P di Jakarta melawan 14 parti lain dari KIM. Tetapi Jakarta bukan Jawa Tengah atau tempat-tempat lain.

Banyak yang percaya bahawa sebarang bentuk penyelewengan dan manipulasi sewaktu berkempen dan mengundi sukar dilakukan di Jakarta.

Maka itu pemberian bantuan sosial (bansos) dan sembako (yang terdiri dari sembilan bahan keperluan asas berupa makanan) tidak mungkin boleh dijadikan pancingan undi.

Jakarta mempunyai seramai 8,214,007 pemilih. Terdapat pula 14,835 TPS atau tempat pembuangan undi yang dikawal rapi.

Di Indonesia setiap TPS hanya tercatat 300 nama pengundi. Hitung cepat tidak rasmi memberikan kemenangan kepada paslon Pramono Anung dan Rano Karno.

Di Jakarta, calon harus melepasi 50 peratus undi popular atau akan berlaku pertandingan pusingan kedua.

Pramono-Rano memperoleh 50.07 peratus undi walaupun belum diumumkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) secara rasmi. Kemenangan di Jakarta ini tentulah mengurangkan sedikit kekecewaan Ibu Mega.

Ternyata walaupun faktor pengaruh Jokowi masih kuat di wilayah lain di Pulau Jawa tetapi tidak di Jakarta. Jokowi dan Prabowo sedar tentang ‘Efek Anies Baswedan’.

Apabila Anies menyatakan sokongannya kepada paslon Pramono-Rano, maka harapan semakin cerah untuk mereka.

Malah apabila berlaku gabungan penyokong Basuki Cahaya Purnama (Ahok) yang dikenal dengan Ahokers dan penyokong Anies (Anak Abah), maka peluang Pramono-Rano bertambah.

Buat masa ini, PDI-P tentulah akan melakukan banyak introspeksi dalaman. Ibu Mega sudah membuat kenyataan terbuka menyesali gerakan meluas untuk mempengaruhi pengundi di Pulau Jawa. Malah beliau melihatnya sebagai satu ancaman buat demokrasi.

Apakah pengaruh Jokowi ini juga akan menghantui Prabowo sebagai presiden? Apakah pengaruh ini sementara atau akan berterusan dan memberikan ancaman kepada kedudukan Prabowo sendiri pada masa hadapan?

Ternyata politik Indonesia lebih menarik dan penuh drama dari sinetron terbaik di kaca TV anda!

*Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau kini banyak menulis tentang politik, seni, budaya dan kesusasteraan Indonesia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!