Jangan pandang Bangladesh sebelah mata
SKUAD hoki remaja negara tetap berwaspada ancaman Bangladesh menjelang perlawanan ketiga Kumpulan B Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Oman, Al Marat, Muscat, Oman.
Malah di sebalik status pendahulu kumpulan, pengendali The Young Tigers, I Vikneswaran menyifatkan corak permainan pasukan Bangladesh yang berada di kedudukan ketiga di belakang Pakistan tidak seharusnya mengalpakan pemain-pemain negara.
"Bangladesh merupakan pasukan yang mempunyai corak permainan lebih moden berbanding sebelum ini.
"Mereka juga mempunyai beberapa pemain berkualiti selain pakar pukulan sudut penalti yang berbisa
"Apa yang penting pada pemain-pemain remaja negara ketika ini kita harus fokus kepada elemen kejutan pasukan dalam mengeksploitasi kelemahan mereka
"Kita telah mempersiapkan pasukan dengan rapi termasuk memperbaiki beberapa aspek seperti pukulan sudut penalti supaya setiap peluang dapat diterjemahkan dalam bentuk jaringan," katanya yang juga mahu setiap pemain fokus kepada tugasan masing-masing dan beraksi sebagai satu unit pasukan.
Anak buah Vikneswaran membuka kempen di Muscat dengan menang besar 5-1 ke atas China sebelum meneruskan momentum positif 9-1 terhadap tuan rumah, Oman sekaligus memimpin kumpulan B.
Sebaik selesai berdepan Bangladesh, angkatan Vikneswaran akan berdepan ujian karakter sebenar dengan menentang gergasi Asia, Pakistan bagi menentukan juara kumpulan.
Sebagai rekod, dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir manakala enam terbaik kejuaraan layak ke Piala Dunia Remaja 2025 di India, Disember depan.
Kejuaraan ini juga buat pertama kali memperlihatkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengembangkan slot
penyertaan kepada sebanyak 24 pasukan dalam usaha pemerkasaan pembangunan sukan tersebut dalam kalangan negara bagi jangka panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!