Dua beradik maut anak yatim, atlet olahraga sekolah
HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] "Saya hamil lapan bulan, minggu lepas arwah (Fatimah) bantu belikan makanan di kantin kerana bimbang saya terjatuh sebab lantai licin", demikian luah Guru Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ajil, Ummi Atikah Zakaria.
Menurutnya, dua mangsa iaitu Puteri Sajidah Azman,16, dan adiknya Siti Fatimah Azman,13, merupakan atlet olahraga sekolah.
"Saya ajar arwah Fatimah subjek Sejarah sejak awal tahun ini. Mereka berdua aktif dan rajin bantu semua guru di sekolah.
"Macam arwah Fatimah sering siapkan nota awal. Biasanya dia paling awal siapkan kerja-kerja sekolah yang saya beri dalam kelas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Ummi Atikah berkata, mereka berdua anak yatim yang kehilangan ayah dan tinggal di rumah itu lima beradik bersama ibu.
"Kami satu sekolah amat merasai kehilangan mereka.
"Saya sendiri tak tahu macam mana nak masuk kelas Ahad ini, tengok arwah tiada di meja sebab arwah merupakan pelajar yang sentiasa senyum dan sangat suka menolong," katanya.
Dalam pada itu, Ummi Atikah berkata, arwah Sajidah menunjukkan sedikit perubahan sikap pada Khamis lalu.
"Guru yang mengajar arwah Sajidah ada beritahu minggu lepas arwah sangat rajin mengemas serta membersihkan kelas dan bengkel sekolah.
"Mereka berdua sangat peramah dan rajin menolong. Ini diakui oleh semua rakan mereka dan guru sekolah," ujarnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dekat Kampung Bukit Apit, Ajil, di sini kira-kira jam 4.30 petang Jumaat.
Mangsa pertama, Uzair Azman, 17, ditemui selamat dibawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu rumah, jam 5.17 petang.
Mayat Puteri Sajidah ditemui jam 6.32 petang dan adiknya, Siti Fatimah pula ditemui jam 6.59 petang, dalam keadaan tertimbus dibawah runtuhan.
Kesemua mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, kejadian tanah runtuh itu disedari oleh jiran mangsa, Danial Arrabi, 36, yang terdengar dentuman kuat dari rumahnya.
"Saya keluar rumah dan terkejut tengok tanah runtuh dan hempap rumah jiran, ketika kejadian ibu mangsa tiada dirumah dan dipercayai hanya ada lima beradik dalam rumah itu.
"Dua daripada lima beradik itu berjaya menyelamatkan diri," katanya.
Difahamkan, ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah dan sedang berniaga di Bukit Diman manakala salah seorang lagi anaknya sedang bekerja.
Sementara itu, pihak berkuasa meminta agar penduduk di kawasan rumah berdekatan berpindah sementara ke lokasi selamat atas faktor keselamatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!