Kecoh penemuan buaya berdekatan pasar raya di Rantau Panjang
KOTA BHARU - Tular beberapa hari lalu sebuah video penemuan seekor buaya yang dipercayai berada di satu kawasan di daerah Tumpat.
Reptilia berkenaan ditemui oleh sekumpulan lelaki di lokasi yang digenangi air sebelum haiwan itu naik ke darat.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ia buaya dewasa atau sebaliknya, namun daripada perbualan kumpulan lelaki itu buaya terbabit dipercayai dalam proses untuk bertelur.
Sementara itu, kecoh sejak beberapa hari lalu, beberapa penduduk mendakwa melihat seekor buaya berdekatan sebuah pasar raya di Rantau Panjang.
Mereka turut berkongsi perkara itu di media sosial termasuk di sebuah portal bagi memberi peringatan kepada orang ramai.
Pentadbir sebuah kumpulan komuniti Facebook, Adrian Hakimi Mohd Don, 35, memberitahu dimaklumkan individu terbabit pada Khamis selepas melihat reptilia itu tidak jauh dari pasar raya berkenaan.
"Individu itu mendakwa ternampak kepala biawak timbul pada permukaan air sejak dua hari lalu dan yakin haiwan itu berkeliaran di kawasan itu," katanya.
Tambah Adrian Hakimi, pada Jumaat individu itu mendakwa ibunya turut melihat buaya di kawasan sama dan meminta beliau berkongsi di portal bagi memberi peringatan kepada orang ramai.
"Kami juga tidak pasti kejadian itu sahih atau sebaliknya tetapi hanya memberi peringatan kerana bimbang berlaku bahaya selain keselamatan penduduk," katanya.
Menurutnya sepanjang musim tengkujuh, turut tular gambar dan video reptilia itu ditemui di Pasir Puteh.
"Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kawasan sebenar buaya itu berada tetapi di kawasan kampung penduduk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!