Apa hak encik tahan saya!
KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal bertindak agresif terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas ditahan kerana didapati tiada lesen memandu dalam Operasi Khas Motosikal di Jalan Bangsar pada Jumaat.
Lelaki tempatan berumur lingkungan 20-an itu mulanya ditahan anggota JPJ bertugas selepas pemeriksaan mendapati motosikal ditunggangnya itu tidak mempunyai nombor pendaftaran di hadapan.
Individu terbabit mulanya memberikan alasan menunggang motosikal milik rakannya sebelum didapati tidak memiliki lesen yang sah.
Berang akibat diarahkan supaya berhenti untuk pemeriksaan, lelaki itu kemudiannya mula bertindak agresif dengan mempertikaikan tindakan yang diambil anggota JPJ bertugas.
Bagaimanapun tindakan individu berkenaan mengundang padah setelah semakan dilakukan mendapati nombor pendaftaran digunakan dipercayai palsu menyebabkan motosikalnya disita untuk tindakan lanjut.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, operasi dijalankan bermula jam 9 malam itu melibatkan kekuatan seramai 150 pegawai dan anggota JPJ Kuala Lumpur.
Beliau berkata, operasi turut melibatkan pelbagai agensi antaranya Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara.
"Sebanyak 5,169 kenderaan melibatkan pelbagai kenderaan jenis kenderaan termasuk motosikal diperiksa selain 1,431 kesalahan dikesan melibatkan pelanggaran di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Antara kesalahan melibatkan tiada lesen memandu, tidak cukai jalan serta cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, ubah suai kenderaan dan pelbagai kesalahan teknikal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar operasi berkenaan di Jalan Bangsar pada Sabtu.
Katanya, sebanyak 1,369 saman dikeluarkan serta 62 kenderaan melibatkan motosikal dan kereta disita dalam operasi ini.
"Tindakan sitaan ini melibatkan kenderaan yang diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya.
"Selain itu, tindakan diambil bagi melengkapkan prosedur siasatan pelbagai kes kesalahan semasa dan rekod lampau pengendali kenderaan seperti tiada insurans, tiada lesen memandu, ubah suai piawai keselamatan dan sebagainya," katanya.
Dalam operasi sama, dua individu dipercayai pendatang asing tanpa izin turut ditahan.
"Pihak AADK pula telah membuat saringan air kencing ke atas 20 individu dan menahan dua individu yang didapati positif dadah.
"Sementara itu, pihak JSPT turut mengeluarkan saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!