Van Nistelrooy kembali semula ke EPL
LEICESTER City melantik Ruud van Nistelrooy sebagai pengendali The Foxes, menggantikan Steve Cooper yang dipecat dalam kontrak hingga Jun 2027, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Cooper yang sebelum ini mengemudi The Foxes berlegar dua mata di atas zon penyingkiran, menyaksikan kelab itu bergerak pantas melantik van Nistelrooy yang pernah menjadi penolong pengendali di Manchester United selain mengambil alih sementara selepas pemecatan Erik ten Hag bulan lalu.
"Saya bangga dan teruja apabila semua orang yang ditemui di sini bersemangat berkenaan Kelab Bolasepak Leicester City.
"Mereka mempunyai cerita hebat tentang kualiti semua yang bekerja di kelab, penyokong dan sudah tentu sejarah kelab baru-baru ini sangat mengagumkan," kata bekas penyerang Belanda dan Manchester United itu.
Untuk rekod, Leicester City menikmati kejayaan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang menakjubkan pada 2015-2016.
Bagaimanapun Foxes diturunkan pada 2023 sebelum kembali di bawah kendalian Enzo Maresca yang kemudiannya menyahut cabaran bersama Chelsea sebelum Cooper dilantik pada Jun.
Leicester selepas itu memecat Cooper secara mengejut selepas 157 hari mengendalikan setelah kekalahan 1-2 di Stadium King Power kepada Chelsea yang menyaksikan Foxes turun ke tangga ke-16 dengan 10 mata di atas zon penyingkiran.
Pengumuman pelantikan van Nistelrooy dibuat dua minggu selepas dia meninggalkan peranannya sebagai jurulatih sementara di United yang menyaksikan pasukan itu meraih tiga kemenangan dan seri dalam semua pertandingan.
Pengendali berusia 48 tahun itu berpindah dari Stadium Old Trafford selepas ketibaan Ruben Amorim sebagai pengendali tetap baharu United walaupun Nistelrooy menyatakan minat untuk kekal di kelab berkenaan.
"Pengalaman, pengetahuan dan mentaliti kemenangan Ruud sudah pasti akan membawa nilai yang besar kepada kami.
"Kami berharap dapat menyokongnya dalam mencapai kejayaan untuk penyokong-penyokong kami dan Kelab Bolasepak Leicester City," kata Pengerusi Leicester City, Aiyawatt Srivaddhanaprabha.
INFO
Bekas penyerang United itu juga bermain untuk kelab Eredivisie Belanda, PSV Eindhoven dan jagoan LaLiga Sepanyol, Real Madrid, menjaringkan 349 gol di peringkat kelab dan 35 dalam 70 penampilan untuk Belanda.
Sebagai pengendali sebelum ini, Nistelrooy mengetuai PSV pada musim 2022-23, di mana dia memenangi Piala Belanda, sebelum menyertai kakitangan ten Hag sebagai penolong jurulatih pada Julai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!