Banjir makin teruk, cecah 123,729 mangsa seluruh negara

Keadaan terkini banjir di Bandar Baru Tunjung. Foto Bernama
Keadaan terkini banjir di Bandar Baru Tunjung. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Banjir di sembilan negeri seluruh negara bertambah buruk dengan bilangan mangsa sudah mencecah 123,729 orang melibatkan 37,230 keluarga setakat jam 9 pagi pada Sabtu.

Angka tersebut melonjak daripada 119,525 mangsa bermula jam 6 pagi tadi yang ketika itu melibatkan 35,984 keluarga terkesan.

Dua negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu masih mencatatkan jumlah tertinggi serta tujuh lagi negeri lain yang tidak ketinggalan menunjukkan peningkatan tanpa henti.

Negeri tersebut adalah Kedah, Selangor, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Di KELANTAN, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 82,447 orang dengan 279 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 jajahan berbanding 80,140 orang di 278 PPS, pada jam 6 pagi, Sabtu.

Jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 25,826 orang di 61 PPS diikuti Tumpat (13,429 orang, 26 PPS), Kota Bharu (11,824 orang, 42 PPS), Pasir Puteh (8,394 orang, 32 PPS) dan Kuala Krai (6,011 orang, 42 PPS).

Turut melanda Machang melibatkan 5,734 orang di 24 PPS, Bachok (5,674 orang, 14 PPS), Tanah Merah (4,859 orang, 28 PPS), Jeli (665 orang, sembilan PPS) dan Gua Musang (31 orang, satu PPS).

Di TERENGGANU, mangsa banjir setakat jam 9 pagi menunjukkan peningkatan sebanyak 32,962 orang dengan Besut masih menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa seramai 13,205 orang di 119 PPS daerah itu.

Artikel Berkaitan:

Ini diikuti Hulu Terengganu (6,434 orang, 62 PPS), Setiu (6,141 orang, 56 PPS), Kemaman (2,940 orang, 34 PPS), Dungun (2,677 orang, 41 PPS), Marang (659 orang, sembilan PPS) dan Kuala Nerus (466 orang, tujuh PPS).

Sementara itu, di KEDAH, mencatatkan peningkatan sebanyak 4,566 orang daripada 4,477 mangsa pada jam 6 pagi pada Sabtu, dengan Kubang Pasu menjadi daerah paling terkesan dengan jumlah seramai 2,315 orang di 15 PPS.

Empat lagi daerah yang terjejas ialah, Sik (1,062 orang, lapan PPS), Kota Setar (632 orang, 10 PPS), Padang Terap (301 orang, 11 PPS), Kuala Muda (178 orang, dua PPS) dan Pokok Sena (78 orang, empat PPS).

NEGERI SEMBILAN terus mencatatkan peningkatan sebanyak 2,210 mangsa di 22 PPS di empat daerah yang terkesan.

Ia adalah Tampin dengan 1,537 mangsa di 12 PPS, Kuala Pilah (320 orang, empat PPS), Jempol (281 orang, empat PPS) dan Port Dickson (21 orang, satu PPS).

Dalam pada itu, banjir di PERLIS pula juga mencatatkan peningkatan sebanyak 488 mangsa berbanding 404 orang pada petang Jumaat.

Sebanyak empat PPS dibuka dan tiga daerah yang terlibat iaitu, Padang Besar dengan jumlah mangsa tertinggi (205 orang, dua PPS), Arau (145 orang, satu PPS) dan Kangar (138 orang, satu PPS).

Di SELANGOR, terdapat peningkatan direkodkan setakat jam 9 pagi pada Jumaat dengan jumlah sebanyak 468 mangsa di Klang dan dua PPS dibuka.

PERAK kekal seperti Jumaat petang dengan 20 mangsa di daerah Kerian (satu PPS).

Bagi MELAKA menunjukkan peningkatan sebanyak 229 mangsa dan tiga daerah terlibat berbanding jam 6 pagi pada Sabtu iaitu sebanyak 228 orang.

Tiga daerah tersebut ialah, Alor Gajah dengan jumlah tertinggi (129 orang, empat PPS), Jasin (87 orang, satu PPS) dan Melaka Tengah (13 orang, satu PPS).

Mangsa di JOHOR pula telah meningkat berbanding Jumaat dengan jumlah sebanyak 339 orang di dua daerah terlibat.

Tangkak dengan jumlah tertinggi (215 orang, tiga PPS) dan Segamat (124 orang, enam PPS).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!