‘Bersatu parti terkehadapan’ - Muhyiddin

Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali ke-7 pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali ke-7 pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa parti yang diterajuinya itu bersifat terkehadapan.

Muhyiddin berkata, Bersatu muncul sebagai sebuah parti politik dan wadah siasah yang utama di Malaysia pada abad ke-21.

“Ini sebabnya saya membuat cadangan dalam Persidangan Agung Tahunan (PAT) lalu bahawa Bersatu mesti kita jadikan sebuah parti politik yang mampu memenuhi tuntutan serta berupaya menangani ancaman dan cabaran pada abad ke-21. Parti kini ini parti di hadapan.

“Kita perlu perincikan tuntutan, cabaran, dan ancaman utama di abad ini untuk membolehkan kita menyedari, menginsafi dan memahami realiti baharu di hadapan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di PAT Bersatu kali ke-7 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu

Menurut Muhyiddin, antara isu yang perlu diberi perhatian ialah teknologi maklumat dan komunikasi ekoran ia telah menjadikan dunia bersifat rentas sempadan.

Tambahnya, hal berkaitan migrasi, globalisasi dan integrasi serantau juga telah mencetuskan kebangkitan semangat nasionalisme baharu di seluruh dunia yang memberi kesan besar kepada kelangsungan negara bangsa.

“Di Eropah, Yugoslavia berpecah kerana penduduk di wilayah-wilayah memilih untuk berpisah dan membentuk negara-negara baharu. Britain melaksanakan Brexit kerana memikirkan penyertaannya dalam European Union tidak memberikan keuntungan kepadanya.

“Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden, Donald Trump mengamalkan dasar imigresen, perlindungan ekonomi dan doktrin keselamatan yang ketat untuk menjaga kepentingan negara kuasa besar itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita boleh menjangkakan Trump berkemungkinan meneruskan dasar perlindungan ekonomi ketat seperti perang perdagangan dengan China. Ia akan memberikan kesan langsung ke atas negara-negara perdagangan seperti Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya, seluruh realiti, cabaran dan ancaman berkenaan turut menjejaskan kesemua sektor keselamatan nasional Malaysia.

Muhyiddin berkata, ia bermakna, keselamatan ketenteraan, politik, ekonomi, sumber alam dan identiti Malaysia sentiasa berhadapan situasi yang tidak menentu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!