Kesuma beri khidmat nasihat kepada majikan, pekerja terjejas banjir
BUKIT MERTAJAM - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bersedia memberikan khidmat nasihat serta rundingan kepada para majikan dan pekerja yang terkesan banjir.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, mereka yang terjejas boleh berhubung terus dengan Jabatan Tenaga Kerja bagi mendapatkan nasihat berkaitan penyelarasan jadual waktu kerja, gaji dan cuti bagi mereka yang terkesan banjir.
Menurutnya, tindakan berkenaan perlu dalam usaha mengekalkan kefahaman serta memudah cara di antara kedua- dua pihak berkaitan pekerjaan sewaktu berdepan krisis.
"Saya minta supaya kalau ada isu-isu yang memerlukan bimbingan dan nasihat majikan mahupun pekerja boleh tampil ke pejabat-pejabat tenaga kerja.
"Kalau di tempat yang banjir itu mungkin mereka boleh telefon ataupun email mesej kepada pegawai-pegawai jabatan tenaga kerja di tempat masing-masing kita akan memberikan khidmat nasihat supaya aturan kerja adalah disusun dan juga apa-apa tindakan khusus khususnya semasa bencana dalam dari segi gaji, dari segi cuti, dari segi aturan kerja boleh diperincikan secara harmoni di antara pekerja dan majikan,"katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Peluncuran Kampung Angkat Madani Kesuma di Kampung Baru Alma, di sini, pada Sabtu
Sementara itu, Steven Sim berkata, seramai 10,000 sukarelawan Wira Kesuma akan digerakkan membantu mangsa- mangsa banjir di negeri terkesan banjir khususnya di Pantai Timur.
Beliau berkata, sukarelawan yang akan mengikuti misi bantuan kemanusiaan akan lengkapi dengan ilmu berkaitan menerusi kursus keselamatan anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi mengurangkan risiko semasa misi bantuan di lokasi banjir.
"Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga kepada 'occupational safety at home' ataupun keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
"Kita telah memberikan kursus-kursus keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada tim wira Kesuma agar mereka bersiap sedia bila-bila masa dan kita tunggu arahan daripada Angkatan Pertahanan Awam untuk turun memberikan bantuan di tempat-tempat banjir pada masa kini di Pantai Timur,"katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!