JKR pantau jalan, cerun terjejas banjir - Ahmad Maslan

Ahmad (kiri) menunjukkan laman web http://bencanaalam.jkr.gov.my yang boleh diakses orang ramai untuk mengetahui lokasi banjir di seluruh negara.
Ahmad (kiri) menunjukkan laman web http://bencanaalam.jkr.gov.my yang boleh diakses orang ramai untuk mengetahui lokasi banjir di seluruh negara.
A
A
A

PONTIAN – Jabatan Kerja Raja ( JKR ) negeri dan daerah akan terus memantau jalan yang terjejas dalam kejadian banjir yang ketika ini melanda beberapa buah negeri terutama di kawasan negeri pantai timur.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, selain jalan-jalan yang terjejas dengan banjir, pemantauan turut melibatkan jalan-jalan yang mendap, cerun yang runtuh selain jambatan.

Menurutnya, Pengarah dan Jurutera Daerah (JD) diminta mengenal pasti laluan alternatif dengan kadar segera sekiranya jalan utama tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan kerana ditenggelami banjir.

“Memandangkan banjir yang berlaku telah melibatkan sembilan negeri setakat ini, tentunya JKR mempunyai tanggungjawab bagi memastikan jalan-jalan perhubungan selamat untuk dilalui.

“Sekiranya tidak selamat, perlu ada laluan pilihan bagi membolehkan bekalan makanan dan logistik dapat sampai ke lokasi dengan kadar segera.

"JKR negeri dan daerah boleh menubuhkan pasukan khas bagi memasang papan tanda amaran dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Ahmad (dua kanan) merasmikan Sukan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang di Dewan di Kampung Puteri Menangis pada Sabtu.
Ahmad (dua kanan) merasmikan Sukan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang di Dewan di Kampung Puteri Menangis pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas merasmikan Sukan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang di Dewan di Kampung Puteri Menangis pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Mengulas mengenai aduan yang diterima di Bilik Gerakan Banjir Bencana Banjir JKR, setakat pagi ini, beliau berkata sebanyak 198 kawasan dilaporkan berlaku banjir di seluruh negara termasuk banjir kilat di 26 kawasan.

Katanya, lain-lain laporan yang diterima juga melibatkan jalan mendap ( 2 ) jalan runtuh (2), cerun runtuh ( 1) manakala tiada laporan diterima berkaitan jambatan rosak.

Pada Jumaat, media melaporkan Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) diaktifkan bagi memantau bencana banjir yang berlaku susulan Monsun Timur Laut dan beroperasi 24 jam ekoran amaran banjir sudah berada di tahap merah.

Justeru katanya, orang ramai boleh layari laman http://bencanaalam.jkr.gov.my/ bagi mengetahui lokasi tepat kawasan banjir serta cadangan melalui jalan pintas lain

“Orang awam juga boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana JKR untuk melapor dan mendapatkan sebarang maklumat terkini berkenaan bencana terutamanya di sepanjang Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di 03-2610 7727,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!