Juruwang restoran warga China maut ditikam di pusat beli-belah
CHERAS - Seorang juruwang wanita warga China maut ditikam di restoran tempatnya bekerja di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, dalam kejadian sekitar jam 3 hingga 4 petang itu, mangsa berusia 49 tahun mengalami kecederaan parah selepas ditikam dengan pisau di bahagian badan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat empat hingga lima kesan tikaman pada badan mangsa.
"Setakat ini, pihak polis masih mengesan saksi dan menyiasat motif pembunuhan ini.
"Seramai tujuh orang suspek telah ditahan dan mereka adalah rakan kerja si mati," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun Aidil berkata, senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa masih belum diketemukan.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini bagi mendapatkan rawatan.
"Namun mangsa telah meninggal dunia dalam ambulans semasa perjalanan ke HCTM," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!