Masih boleh bantah kadar baharu cukai Ipoh melalui pejabat Ahli Parlimen, ADUN
IPOH - Pemilik hartanah di Bandaraya Ipoh masih boleh meneruskan bantahan terhadap kadar baharu cukai taksiran yang dicadangkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui pejabat Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berkata, surat bantahan secara fizikal boleh terus dihantar di pejabat-pejabat wakil rakyat di dalam kawasan Parlimen Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Batu Gajah yang berada di dalam kawasan pentadbiran MBI secepat mungkin sebelum hujung tahun.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat oleh MBI bagi memberi peluang kepada lebih ramai warga Bandar raya Ipoh untuk menyatakan bantahan mereka selain mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kadar baharu cukai berkenaan.
"Wakil-wakil rakyat di dalam kawasan pentadbiran MBI ini sudah pun mengadakan mesyuarat bersama Datuk Bandar Ipoh minggu lalu mengenai kadar baharu cukai ini dan kita pertemuan tersebut amat positif selepas beberapa cadangan yang dikemukakan diterima baik termasuklah lanjutan untuk orang ramai kemukakan bantahan.
"Ini terbukti apabila MBI bersetuju untuk mempertimbangkan penurunan kadar cukai itu daripada sembilan peratus kepada tujuh peratus. Tetapi perkara ini belum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mendapat kelulusan dan kita amat positif mengenainya," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Wisma DAP Perak di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada sidang media itu, ADUN Canning, Jenny Choi Tsi Jen; ADUN Pasir Pinji, Goh See Hua; ADUN Bercham, Ong Boon Piow; ADUN Buntong, M Thulsi dan ADUN Jelapang, Cheah Pou Hian.
Howard Lee berkata, surat bantahan perlu dihantar secara fizikal bagi membolehkan penerangan diberikan kepada pemilik hartanah mengenai kadar baharu cukai berkenaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sesi libat urus di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan bersama penduduk setempat bagi memberi maklumat yang lebih jelas mengenai perkara itu.
Jelasnya, MBI juga turut menyatakan kesediaan untuk turun padang bersama-sama menjayakan sesi libat urus berkenaan.
Sebelum ini tempoh bantahan kadar baharu cukai ditetapkan selewat-lewatnya pada 22 November depan.
Pada Khamis, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memaklumkan kenaikan cukai taksiran sembilan peratus yang dicadangkan MBI sebelum ini akan diturunkan pada kadar lebih rendah.
Menurutnya, keputusan itu mengambil kira aduan dan bantahan dibuat orang ramai selain dipersetujui dalam mesyuarat khas yang diadakan.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kenaikan kadar baharu cukai tersebut dan memaklumkan perinciannya akan dimaklumkan seawalnya hujung Disember ini.
Sehingga tarikh tutup bantahan pada 22 November lalu, MBI menerima sebanyak 18,000 surat bantahan daripada pemilik hartanah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!