Jenazah Hanalin 'diterbangkan' ke Sabah Rabu depan
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Jenazah Hanalin Datu Harun, 39, dijangka tiba dari Korea Selatan ke Sabah pada Rabu depan untuk dikebumikan di daerah kelahirannya di Kinarut, Papar.
Hanalin yang meninggal dunia pada 24 November lalu di Hospital Asan Chungmu di Wilayah Chungcheong Selatan, dijadualkan diterbangkan dari Incheon pada jam 11 pagi Selasa.
Menurut Normah, 36, mereka baru dimaklumkan mengenai jadual penerbangan daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan jenazah kakaknya di negara tersebut.
"Menurut maklumat, setakat ini jenazah kakak akan tiba di Kuala Lumpur pada 4.45 petang Selasa dan seterusnya penerbangan ke Kota Kinabalu pada keesokan harinya jam 1.30 pagi dan dijadualkan tiba pada jam 12.30 tengah hari.
"Semua telah diuruskan termasuk kos penerbangan sekitar RM30,000 dan bil hospital termasuk pengurusan jenazah sekitar RM13,200 juga telah dijelaskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya lagi, jenazah Hanalin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pekan Kinarut sebaik tiba nanti.
"Namun sebelum itu, kami akan bawa jenazah ke Masjid Hikmah Kampung Tengah Pekan Kinarut untuk sembahyangkan sekali lagi sebelum urusan pengebumian.
"Kami juga turut mendapatkan bantuan daripada NGO van jenazah percuma untuk urusan membawa jenazah ke Kinarut nanti," katanya.
Sementara itu, Masrul Guding, 34, yang menguruskan van jenazah percuma dari Persatuan Amal dan Jariah Sabah turut diberitahu mengenai jadual penerbangan jenazah tersebut.
"Kami baru dimaklumkan mengenai jadual tersebut oleh ahli keluarga. Insya-ALLAH kami bersedia membantu untuk urusan seterusnya nanti," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Hanalin disahkan meninggal dunia di hospital dan ahli keluarga berharap dapat membawa pulang jenazahnya ke Sabah untuk dikebumikan.
Bagaimanapun, kos membawa pulang jenazah dari Korea Selatan memakan kos yang tinggi menyebabkan ahli keluarga terpaksa mendapatkan bantuan orang ramai untuk mengumpul dana tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!