[VIDEO] Lagi tanah runtuh hempap rumah penduduk di Ajil

A
A
A

HULU TERENGGANU - Sebuah keluarga di Kampung Baru Ajil di sini terpaksa berpindah selepas sebahagian rumah dihempap tanah runtuh dalam kejadian petang Jumaat.

Mohd Fauzi Rani, 66, berkata, insiden menimpa rumahnya berlaku dalam tempoh sama dengan tragedi tanah runtuh yang menyebabkan dua beradik maut di Kampung Bukit Apit di sini.

Mohd Fauzi menunjukkan bahagian rumah yang ditimpa tanah runtuh dalam kejadian pada petang Jumaat di Kampung Baru Ajil, Hulu Terengganu.
Mohd Fauzi menunjukkan bahagian rumah yang ditimpa tanah runtuh dalam kejadian pada petang Jumaat di Kampung Baru Ajil, Hulu Terengganu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika dia enam beranak berada di ruang tamu rumah berkenaan.

"Waktu duduk di ruang tamu saya perasan ada aliran air masuk ke dalam rumah sebelum terdengar bunyi kuat dari luar.

"Bila saya keluar tengok tiang serambi rumah sudah patah ditimpa runtuhan. Waktu itu masih ada pergerakan tanah dan kami sekeluarga cepat-cepat keluar untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini malam Jumaat.

Mohd Fauzi menunjukkan bahagian rumahnya di Kampung Baru Ajil yang dimasuki air.
Mohd Fauzi menunjukkan bahagian rumahnya di Kampung Baru Ajil yang dimasuki air.

Mohd Fauzi yang juga seorang mekanik memberitahu, kejadian itu kali kedua berlaku selepas beberapa pokok bersebelahan rumahnya tumbang akibat kejadian sama tiga tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini hanya beberapa bongkah batu menimpa sebahagian kecil rumah, kali ini saya gusar sebab rumah yang dalam proses ubah suai ini ditimpa runtuhan tanah

"Dalam jam 8 malam tadi saya terpaksa alihkan kereta pelanggan ke tepi jalan kerana takut ditimpa runtuhan," jelasnya.

Bapa lima anak itu berkata, dia kini terpaksa tinggal sementara di rumah sewa sementara menunggu keadaan kembali pulih dan selamat.

"Buat masa ini saya sekeluarga sudah tidak berani masuk ke dalam rumah.

"Syukurlah sebab kami sekeluarga jumpa sebuah rumah sewa dekat sini untuk bermalam buat sementara waktu," katanya yang tinggal di situ sejak 30 tahun lalu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dekat Kampung Bukit Apit di sini kira-kira jam 4.30 petang Jumaat.

Mangsa pertama, Uzair Azman, 17, ditemui selamat di bawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu rumah, jam 5.17 petang.

Mayat Puteri Sajidah ditemui jam 6.32 petang dan adiknya, Siti Fatimah pula ditemui jam 6.59 petang, dalam keadaan tertimbus di bawah runtuhan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!