Jumlah mangsa banjir di Kuala Pilah kekal 417 orang

Keadaan di sebuah PPS di Johol - Foto: Ahli Parlimen Kuala Pilah (Gambar kecil: Nawal)
Keadaan di sebuah PPS di Johol - Foto: Ahli Parlimen Kuala Pilah (Gambar kecil: Nawal)
A
A
A

KUALA PILAH - Jumlah mangsa banjir di daerah ini kekal 417 orang setakat jam 12 tengah hari membabitkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak pagi Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin berkata, empat PPS berkenaan merupakan PPS Dewan Desa Dangi menempatkan 294 mangsa, PPS SJKC Kampung Baru Kepis (60), PPS Sekolah Undang Johol (21) dan PPS SJKC Pei Chun (42 mangsa).

Bagaimanapun katanya, jumlah tersebut dijangka menurun dan maklumat terkini sedang dikemas kini oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.

"Keadaan di PPS adalah terkawal dan pihak keselamatan serta agensi bertanggungjawab sedang melakukan pemantauan daripada masa ke masa," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan (kanan) menyantuni mangsa banjir, turut berada di lokasi ADUN Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman (kiri). - Foto: Ahli Parlimen Kuala Pilah
Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan (kanan) menyantuni mangsa banjir, turut berada di lokasi ADUN Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman (kiri). - Foto: Ahli Parlimen Kuala Pilah

Setakat jam 6 petang Jumaat, sebanyak 20 PPS telah dibuka di Negeri Sembilan iaitu 11 di daerah Tampin, empat di daerah Kuala Pilah, satu Port Dickson dan empat di Jempol dengan jumlah kumulatif mangsa seramai 2120 orang dengan 578 Ketua Isi Rumah (KIR).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan PPS yang disediakan oleh Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dilengkapi dengan kemudahan asas untuk setiap mangsa yang terlibat bagi memastikan mereka mendapat pelindungan yang sewajarnya sepanjang situasi banjir ini berlaku.

"Saya telah mengarahkan semua Pegawai Daerah yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk memastikan setiap PPS dan kawasan yang terlibat dengan banjir dapat dipantau dengan rapi.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga telah menyelaraskan bantuan – bantuan untuk seluruh mangsa banjir bersama dengan agensi-agensi yang terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysian (APM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Laporan berkaitan situasi banjir di Negeri Sembilan akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Saya ingin mengingatkan semua mangsa untuk tidak kembali ke rumah selagi tidak mendapat sebarang makluman dari pihak berkuasa," katanya.

Ujarnya, keselamatan semua mangsa adalah diutamakan, kerajaan Negeri Sembilan telah mewujudkan Negeri Sembilan Command Centre (NeSCOM) bagi sebarang laporan berhubung dengan situasi banjir di negeri ini.

"Sebarang pertanyaan boleh dirujuk menerusi talian 012-9446380 (Lt. M (PA) Mohd Adib). Kerja-kerja pembersihan rumah-rumah mangsa akan digerakkan sejurus situasi banjir berakhir," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!