[VIDEO] Salur peruntukan pembangkang tanpa MoU jika kerajaan ikhlas - Muhyiddin

A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia sepatutnya menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tanpa memorandum persefahaman (MoU) sekiranya mereka berniat ikhlas untuk membantu rakyat.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana peruntukan itu bukan untuk wakil rakyat tetapi rakyat di bawah mereka.

Muhyiddin (kanan) pada sidang media selepas berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali ketujuh di IDCC, Shah Alam pada Sabtu.
Muhyiddin (kanan) pada sidang media selepas berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali ketujuh di IDCC, Shah Alam pada Sabtu.

Menurutnya, pada zaman beliau menjadi Perdana Menteri, MoU tidak diperlukan untuk menyalurkan dana kepada pembangkang.

"Draf- draf ini zaman saya tiada, lagipun hanya RM300,000, benda bagi sahajalah kalau kerajaan niat baik.

"Ini untuk bantu rakyat kenapa tidak boleh tolong, kata banyak duit berbilion takkan sikit pun tidak boleh bantu?" katanya dalam sidang akhbar selepas berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali ketujuh di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini pada Sabtu.

Hadir sama dalam sesi berkenaan, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Muhyiddin berkata, pihaknya telah menolak draf pertama yang diberikan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tolak sebab tahu sangat memang tidak boleh diterima. Sekarang ada pula saya dengar mahu hantar draf kedua.

"Tidak bolehkah Kerajaan Madani mencontohi Perikatan Nasional yang memberi peruntukan tanpa MoU. Kita dulu ada orang minta kita bagi," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!