Mangsa banjir meningkat 10,000 dalam tempoh dua jam, kini cecah 130,957
SHAH ALAM - Mangsa banjir di seluruh negara meningkat hampir 10,000 dalam tempoh dua jam, menjadikan jumlah keseluruhannya 130,957 dengan 39,268 keluarga setakat jam 12 tengah hari pada Sabtu.
Kelantan dan Terengganu masih mencatatkan jumlah tertinggi manakala lima lagi negeri, Kedah, Selangor, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor turut menunjukkan peningkatan ketara
Di Kelantan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir menunjukkan trend menaik kepada 85,718 orang dengan 284 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 jajahan berbanding 82,447 orang di 279 PPS, pada jam 9 pagi, Sabtu.
Jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 26,641 orang di 65 PPS diikuti Tumpat (14,552 orang, 31 PPS), Kota Bharu (11,974 orang, 42 PPS), Pasir Puteh (8,643 orang, 30 PPS) dan Kuala Krai (6,298 orang, 41 PPS).
Turut melanda Bachok melibatkan 5,918 orang di 15 PPS, Machang (5,900 orang, 24 PPS), Tanah Merah (4,970 orang, 28 PPS), Jeli (805 orang, tujuh PPS) dan Gua Musang (27 orang, satu PPS).
Di Terengganu mangsa banjir setakat jam 12 tengah hari menunjukkan peningkatan sebanyak 36,110 orang dengan Besut masih menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa seramai 15,238 orang di 122 PPS daerah itu.
Ini diikuti Hulu Terengganu (6,599 orang, 63 PPS), Setiu (6,090 orang, 53 PPS), Kemaman (3,666 orang, 34 PPS), Dungun (2,761 orang, 41 PPS), Marang (829 orang, sembilan PPS), Kuala Nerus (599 orang, tujuh PPS) dan Kuala Terengganu (547 orang, enam PPS).
Sementara itu, di Kedah, mencatatkan peningkatan sebanyak 5,393 orang daripada 4,566 mangsa pada jam 12 tengah hari pada Sabtu, dengan Kubang Pasu masih menjadi daerah paling terkesan dengan jumlah seramai 2,345 orang di 16 PPS.
Empat lagi daerah yang terjejas ialah, Sik (1,062 orang, lapan PPS), Kota Setar (949 orang, 11 PPS), Padang Terap (512 orang, 10 PPS), Pokok Sena (361 orang, empat PPS) dan Kuala Muda (180 orang, dua PPS).
Negeri Sembilan terus mencatatkan peningkatan sebanyak 2,152 mangsa di 22 PPS di empat daerah yang terkesan.
Ia adalah Tampin dengan 1,528 mangsa di 12 PPS, Kuala Pilah (321 orang, empat PPS), Jempol (281 orang, empat PPS) dan Port Dickson (17 orang, satu PPS).
Dalam pada itu, banjir di Perlis pula turut mencatatkan peningkatan sebanyak 492 mangsa berbanding 488 orang pada Sabtu pagi.
Sebanyak empat PPS dibuka dan tiga daerah yang terlibat iaitu, Padang Besar dengan jumlah mangsa tertinggi (205 orang, dua PPS), Arau (149 orang, satu PPS) dan Kangar (138 orang, satu PPS).
Di Selangor, tiada peningkatan dilaporkan dan jumlah mangsanya masih sama seperti yang direkodkan pada Sabtu pagi tadi iaitu 468 mangsa di Klang dan dua PPS dibuka.
Perak menunjukkan penurunan mangsa banjir dengan rekod baharu sebanyak 17 mangsa di daerah Kerian (satu PPS).
Selain itu, Melaka turut menunjukkan penurunan mangsa sebanyak 224 dengan tiga daerah terlibat berbanding jam 9 pagi pada Sabtu iaitu sebanyak 229 mangsa.
Tiga daerah tersebut ialah, Alor Gajah dengan jumlah (116 orang, tiga PPS), Jasin (95 orang, satu PPS) dan Melaka Tengah (13 orang, satu PPS).
Mangsa di Johor pula telah meningkat berbanding Sabtu pagi dengan jumlah terkini sebanyak 383 orang di dua daerah terlibat.
Tangkak dengan jumlah tertinggi (245 orang, tiga PPS) dan Segamat (144 orang, enam PPS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!