Banjir di Kelantan disifatkan terburuk dalam sejarah
PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan menyifatkan banjir yang melanda ketika ini sebagai terburuk dalam sejarah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hal ini kerana lebih 92,044 mangsa sudah dipindahkan ke 288 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4.15 petang pada Sabtu.
"Mangsa mula dipindahkan sejak Isnin lalu, hari ini sudah Sabtu. Ini baharu pusingan pertama banjir sudah begini.
"Bagi saya banjir terburuk setakat ini," katanya semasa sidang akhbar di Balai Polis Repek di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, walaupun hujan tidak lebat namun ia berterusan.
Ujarnya, ketika ini Pasir Mas merupakan daerah paling teruk terjejas diikuti Tumpat.
Mohd Yusoff memberitahu, kedua-dua daerah ini mempunyai kawasan yang telah terputus hubungan akibat banjir iaitu Lubuk Stol, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur, Tumpat.
Katanya, polis Kelantan tetap bersedia untuk berdepan dengan banjir lebih buruk selepas beberapa kawasan di bandar Kota Bharu sudah dinaiki air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!