Sembilan PPS di Kelantan terputus hubungan, polis guna helikopter hantar makanan

Polis Kelantan menggunakan khidmat helikopter untuk menghantar bekalan makanan ke lokasi banjir yang terputus hubungan sejak pagi tadi pada Sabtu.
Polis Kelantan menggunakan khidmat helikopter untuk menghantar bekalan makanan ke lokasi banjir yang terputus hubungan sejak pagi tadi pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan menggunakan khidmat helikopter untuk menghantar bekalan makanan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Tumpat dan dua di Rantau Panjang yang telah terputus hubungan pada Sabtu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini dua penerbangan telah dilakukan bermula jam 8 pagi tadi ke dua PPS di sekitar Lubok Stol, Rantau Panjang.

"Penerbangan seterusnya akan melibatkan tujuh PPS di sekitar Pengkalan Kubur, Tumpat kerana lokasi ini terputus hubungan terus.

"Kekerapan penerbangan bergantung kepada keperluan," katanya semasa sidang akhbar di Balai Polis Repek di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, melihat kepada situasi terkini dan keadaan cuaca, pihaknya berkemungkinan akan meminta bantuan udara daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membantu melancarkan penugasan.

Ujarnya, selain menghantar bekalan makanan ke lokasi terputus hubungan khidmat helikopter juga digunakan untuk membawa mangsa banjir yang mengalami kecederaan.

Mohd Yusoff memberitahu, seorang lelaki warga emas telah diterbangkan dari Lubok Stol ke Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa kerana mengalami patah pada tulang dan memerlukan rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!