Murid Tahun Satu patah kaki digilis pacuan empat roda
HULU SELANGOR - Seorang murid Tahun Satu cedera selepas digilis pacuan empat ronda dipandu wanita warga asing di kawasan perumahan di Bukit Sentosa pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada jam 6.52 petang.
"Siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu wanita berumur 46 tahun dalam perjalanan dari Flat Anggerik 2 menuju kedai berhampiran.
"Mangsa yang ketika itu turun daripada van sekolah dipercayai melintas jalan sebelum dilanggar pacuan empat roda terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Faizal berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa patah kaki kiri sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut.
"Pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan. Kenderaannya telah ditahan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!