Polis nafi insiden tembak menembak di Ampang
AMPANG JAYA - Tiada sebarang insiden tembak menembak berlaku sekitar kawasan perumahan di Ampang seperti yang tular di media sosial pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, sebaliknya kejadian terbabit melibatkan tangkapan seorang suspek kira-kira jam 10 malam di kawasan perumahan berkenaan.
"Tiada insiden tembak menembak yang berlaku seperti yang didakwa menerusi media sosial, kejadian itu melibatkan sebuah kereta peronda polis (MPV) yang mengejar suspek berkaitan kes jenayah.
"Suspek bersama kenderaan yang terlibat telah ditahan dan tidak melibatkan sebarang insiden tembak menembak," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, pihaknya akan berkongsi fakta berkaitan kejadian dalam masa terdekat.
Terdahulu, tular dakwaan menerusi siaran langsung dalam aplikasi media sosial mendakwa berlaku kejadian tembak menembak sekitar kawasan Ampang di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!