Cawangan AEON, AEON Big tawar produk tempatan menerusi KBBM 2024

Adiratno (kiri) meninjau produk tempatan pada perasmian KBBM 2024 di AEON BiG Putrajaya pada Sabtu.
Adiratno (kiri) meninjau produk tempatan pada perasmian KBBM 2024 di AEON BiG Putrajaya pada Sabtu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih 30 cawangan AEON dan 22 cawangan AEON BiG seluruh negara menawarkan pelbagai pilihan produk tempatan dengan harga berpatutan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024.

Pengarah Eksekutif AEON BiG, Takanori Komatsu berkata, ia merupakan komitmen syarikat sebagai menyokong inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurutnya, AEON BiG berbangga kerana membawa produk tempatan ke premis perniagaannya yang secara tak langsung membantu merancakkan ekonomi negara.

"Kempen ini adalah seruan untuk berbangga dengan produk buatan Malaysia.

"Dengan menyokong perniagaan dan produk tempatan, kita dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada barangan import," katanya pada majlis pelancaran KBBM 2024 di AEON BiG di sini pada Sabtu.

Adiratno (empat dari kanan) melancarkan KBBM 2024 di AEON BiG di sini pada Sabtu.
Adiratno (empat dari kanan) melancarkan KBBM 2024 di AEON BiG di sini pada Sabtu.

Perasmiannnya disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDN, Adiratno Che Ani mewakili Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Acara pelancaran turut menampilkan tayangan video khas KBBM 2024, sesi lawatan ke pameran produk tempatan serta aktiviti menarik bagi menggalakkan pengunjung menyokong produk tempatan.

Artikel Berkaitan:

KBBM merupakan inisiatif menggabungkan sektor awam dan swasta untuk memberi manfaat kepada rakyat Malaysia melalui barangan tempatan mampu milik.

Takanori berkata, AEON BiG menggalakkan pengguna untuk bersama-sama menyokong usaha KBBM.

Katanya, maklumat lanjut mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia 2024 di AEON BiG boleh didapati melalui laman sesawang rasmi AEON BiG atau kunjungi mana-mana cawangan berhampiran.

Sementara itu, Adiratno menyeru rakan strategik KPDN supaya sentiasa bersama-sama dengan pihak kementerian untuk membudayakan KBBM secara sukarela di premis masing-masing.

Adiratno (dua dari kanan) melihat produk tempatan pada perasmian KBBM 2024 di AEON BiG Putrajaya pada Sabtu.
Adiratno (dua dari kanan) melihat produk tempatan pada perasmian KBBM 2024 di AEON BiG Putrajaya pada Sabtu.

Beliau berkata, AEON dan AEON BiG turut mengambil tempat pada tahun ini untuk turut melaksanakan inisiatif berkenaan setelah hampir dua tahun tidak terlibat dengan kempen terbabit.

Katanya, pencapaian AEON pada tahun 2021 berupaya merekodkan nilai jualan berjumlah RM6.3 juta dengan melibatkan 561 jumlah bilangan unit simpanan stok (SKU).

"Pada tahun 2022 AEON BiG pula mencatatkan nilai jualan RM1.07 juta bagi 356 SKU.

"Hasil jualan dan SKU melalui inisiatif KBBM ini menunjukkan bahawa AEON dan AEON BiG amat komited dalam membantu produk para usahawan tempatan untuk terus dipasarkan di rangkaian pasar raya besar ini," katanya.

Dalam pada itu, Adiratno memaklumkan, KBBM pada tahun lalu telah berjaya merekodkan lebih RM5.5 bilion jualan iaitu meningkat sebanyak 103.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, nilai jualan itu menunjukkan perkembangan positif dan yakin jumlahnya mampu ditingkatkan lagi melalui penglibatan semua pihak dalam pelaksanaan kempen ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!