TARUMT beri kerjasama penuh siasatan kes pembunuhan kejam tiga ekor kucing

Laporan Sinar Harian berhubung kematian tiga ekor kucing yang dipercayai ditikam di sebuah apartmen di Setapak pada 17 November lalu.
Laporan Sinar Harian berhubung kematian tiga ekor kucing yang dipercayai ditikam di sebuah apartmen di Setapak pada 17 November lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TARUMT) akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis berhubung kejadian tiga ekor kucing mati dibunuh, dalam kejadian yang berlaku di kampusnya di Setapak, di sini baru-baru ini.

TARUMT dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan universiti itu, memberi jaminan menentang segala bentuk kekejaman terhadap semua jenis makhluk.

"Kami telah mengambil langkah sewajarnya untuk memaklumkan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa, berikutan insiden berkenaan cukup serius dengan tiga ekor kucing dibunuh secara kejam dan bangkai haiwan-haiwan itu kemudian ditemukan di kampus.

"Pihak polis telah membuka siasatan kes ini. Universiti kini menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang perlu,” menurut kenyataan itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dalam kenyataan semalam mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang pengawal keselamatan pada 17 November selepas dimaklumkan oleh mahasiswa.

Beliau berkata, siasatan dijalankan berdasarkan Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan membunuh haiwan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!