[VIDEO] Kerajaan salur RM1,000 kepada isi rumah terjejas banjir

A
A
A

HULU TERENGGANU - Kerajaan sudah menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di seluruh negara bermula Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu akan diagihkan secara berfasa kepada semua KIR yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

Ahmad Zahid (kanan) menyantuni mangsa banjir semasa melawat PPS Sekolah Kebangsaan Nibong, hari ini. Foto Bernama
Ahmad Zahid (kanan) menyantuni mangsa banjir semasa melawat PPS Sekolah Kebangsaan Nibong, hari ini. Foto Bernama

"Selain bantuan penyelamatan, kita telah mempunyai senarai mangsa-mangsa banjir yang telah dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Bermula semalam kita telah agihkan bantuan bernilai RM1,000 kepada KIR dan ini akan dilakukan dengan cara berfasa.

"Saya harap pengagihan bantuan-bantuan banjir terutama dana tunai ini akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya.

"Kita tidak mahu ada dalam kalangan KIR yang berpindah ke PPS dan mengikut syarat-syarat ditentukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang tidak mendapat bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ahmad Zahid turut menyantuni mangsa banjir di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Nibong di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, dana disalurkan bergantung jumlah KIR yang terjejas banjir.

"Bagi seluruh negara, kita telah peruntukan jumlah yang secukupnya.

"Kalau misalnya jumlah keluarga (terjejas banjir) melebihi maka Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan akan tambah peruntukan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah memulakan pembinaan sebanyak 14 pusat pemindahan kekal di seluruh negara.

"Di setiap negeri kita akan membina sebuah pusat pemindahan kekal dan kita telah memulakan dengan 14 pusat yang telah dibina.

"Di Hulu Terengganu, kita telah dapat permohonan daripada pemimpin tempatan dan kita akan berikan pertimbangan untuk fasa kedua," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai keperluan kerajaan Persekutuan melancarkan dana kecemasan berikutan jumlah mangsa banjir yang meningkat, Ahmad Zahid menjelaskan amat mustahil bagi kerajaan Pusat menyalurkan bantuan sedemikian kepada semua mangsa yang terjejas.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menyatakan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri akan bekerjasama mengusahakan perkara tersebut bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.

"Kita juga meminta kerajaan negeri mengusahakan bantuan dan juga mewujudkan dana kecemasan itu maka sudah tentu kerjasama di antara kerajaan Pusat dan negeri sangat baik setakat ini dan harus ditingkatkan.

"Kita mesti cari jalan dengan menyantuni serta meringankan keluarga-keluarga yang terjejas namun mustahil mana-mana kerajaan sama ada Pusat dan negeri untuk beri pampasan kepada semua mangsa banjir secara keseluruhannya.

"Ini kerana ia adalah takdir yang melanda dan kita harus istiqamah untuk menentukan bahawa kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mendepani permasalahan ini," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!