Suri rumah mohon selamatkan suami, dua anak terperangkap di bumbung rumah

Fazlinda mohon orang ramai termasuk agensi keselamatan untuk menyelamatkan suami serta dua anak lelakinya yang terperangkap di bumbung rumah sejak petang semalam. Foto media sosial
Fazlinda mohon orang ramai termasuk agensi keselamatan untuk menyelamatkan suami serta dua anak lelakinya yang terperangkap di bumbung rumah sejak petang semalam. Foto media sosial
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang suri rumah dari Kampung Meranti, Pasir Mas memohon orang ramai termasuk agensi keselamatan untuk menyelamatkan suami serta dua anak lelakinya yang terperangkap di bumbung rumah sejak petang semalam.

Fazlinda Mohd Salleh, 38, berkata suaminya Rijal Asmawi, 42, serta dua anaknya Muhammad Faiz, 15, dan Muhammad Fitri, 12, terperangkap di atas bumbung selepas pulang ke rumah petang semalam untuk mengangkat barangan ke tempat selamat.

Dia berkata, bantuan telah diminta daripada agensi keselamatan termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan penyelamat badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu suami dan anak-anaknya itu.

"Ada mengatakan hanya 15 minit sahaja lagi untuk sampai di tempat mereka terperangkap namun hingga kini perkara itu tidak berlaku.

"Saat terakhir saya berhubung dengan mereka sekitar 2 pagi semalam, mengatakan mereka terpaksa berlindung di atas bumbung memandangkan air naik dengan mendadak dan paras air sudah berada di paras bahaya. Kini, saya hanya mampu berdoa kesemua mereka selamat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai perkongsian Fazlinda yang memohon bantuan orang ramai serta pengguna Facebook untuk menyelamatkan suami serta anak-anaknya yang terperangkap di atas bumbung di Kampung Meranti.

Hantaran itu mendapat perkongsian hampir 1,500 pengguna Facebook yang turut bersimpati dengan keadaan itu selain turut membantu menyebarkan maklumat berkenaan dengan lebih meluas.

Menurut Fazlinda, mereka terpisah selepas suaminya meminta dia bersama dua lagi anaknya Muhammad Fahim, 5, dan Fazana Balqis mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementerara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bayu Lalang

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, Fazlinda berkata, beliau kini terpisah dengan suami serta dua anak lelakinya itu selepas diarahkan suaminya untuk berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bayu Lalang dengan membawa dua lagi anak mereka iaitu Fazana Balqis, 8, dan Muhammad Fahim, 5.

"Saya kini buntu memikirkan keadaan mereka bertiga, malah ketika perbualan terakhir suami ada memaklumkan bahawa mereka kesejukan dan kelaparan selain turut mengalami luka-luka kecil di tangan akibat bertahan dan berpaut di bumbung dalam tempoh yang lama.

"Saya berharap mana-mana pihak yang mempunyai bot dapat tampil membantu menyelamatkan suami serta dua anak saya kerana saya juga turut khuatir sekiranya sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada mereka bertiga,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!