Bina rumah untuk pesara, KWAP sudah bincang dengan Majlis Agama Negeri
JOHOR BAHRU - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menjalankan sesi libat urus seluruh negara bagi membina rumah persaraan mandiri warga emas kepada pesara berpendapatan rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia melibatkan Majlis Agama Islam Negeri dari seluruh Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Yayasan Wakaf Malaysia.
“Dengan kerjasama strategik bersama pihak-pihak berkepentingan, saya yakin bahawa projek ini dapat terus menyokong keterjaminan sosial dan ekonomi golongan warga emas, selain mengoptimumkan penggunaan tanah wakaf sedia ada.
“Inisiatif ini juga selari dengan program GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan untuk menaikkan lantai darjat hidup rakyat dan bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Madani untuk terus mendukung kesejahteraan para pesara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam Program Perasmian Karnival My Pesara KWAP 2024 di Padang Akasia Angsana di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, satu lagi fenomena sosial yang akan merubah ekonomi negara ialah peningkatan jumlah warga emas di negara ini setiap tahun.
"Menjelang tahun 2030, negara kita akan menghampiri status negara menua. Perubahan demografi ini membawa cabaran besar kepada negara kita.
"Namun begitu, cabaran ini memberi kita kesempatan untuk merangka strategi tatakelola yang lebih efektif dan mampan demi masa depan yang lebih baik.
"Saya menggalakkan semua untuk bersama-sama membangunkan ekonomi perak atau 'silver economy', yang merujuk kepada potensi ekonomi kepada golongan warga emas ataupun pesara," katanya.
Tambahnya, kejayaan dan pencapaian KWAP menguruskan dananya yang menyaksikan peningkatan dua tahun ini akan dapat menyokong kerajaan dalam pengurusan liabiliti pencen masa depan.
“Pada tahun 2023, saiz dana KWAP telah meningkat kepada RM169.8 bilion, iaitu lebih empat kali ganda berbanding jumlah asal sebanyak RM41.9 bilion ketika ia ditubuhkan pada tahun 2007.
“Malah, pada tahun lalu sahaja, KWAP berjaya mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.4 peratus, satu pencapaian yang amat memberangsangkan di sebalik cabaran ekonomi semasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!