Banjir: 7 sekeluarga redah air lebih satu meter, berlindung atas bukit

Rohaida menunjukkan gambar Proton Exora mereka yang hampir tenggelam.
Rohaida menunjukkan gambar Proton Exora mereka yang hampir tenggelam.
A
A
A

KUALA PILAH - Tujuh sekeluarga termasuk seorang bayi lelaki terpaksa meredah air lebih satu meter bagi menyelamatkan diri daripada banjir dalam kejadian di Jalan Dangi-Bahau berhampiran Kampung Baru Kepis, Batu 10 pada awal pagi Jumaat.

Mangsa, Rohaida Razali, 29, berkata, semasa kejadian jam 12.30 tengah malam itu, dia bersama suami, Akhir Abdul Talib, 32, dengan lima anaknya termasuk dua anak saudara masing-masing berusia 10 bulan hingga tujuh tahun dalam perjalanan dari Pondoi, Tampin ke rumah kakaknya, Nur Hidayah, 35, di Sawah Lebar, Kuala Pilah.

"Kami menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora milik kakak saya dengan membawa stok pelbagai jenis sayuran seberat lebih 50 kilogram untuk dijual dalam Program Jualan Rahmah Madani.

"Ketika itu sudah hujan dan sebaik tiba di lokasi, keadaan air di atas jalan masih boleh dilalui sebelum tiba-tiba air naik mendadak menyebabkan kenderaan kami di hanyutkan sehingga tersekat dalam longkang," katanya ketika ditemui pemberita di Pekan Dangi di sini pada Sabtu.

Keadaan Proton Exora yang dinaiki Rohaida.
Keadaan Proton Exora yang dinaiki Rohaida.

Menurutnya, mereka segera menghubungi pasukan penyelamat dan diarahkan untuk naik ke bumbung kenderaan sementara menunggu bantuan tiba.

"Bagaimanapun, air semakin naik dan suami mengambil keputusan untuk meredah banjir dan kebetulan pula ada pelampung, jadi kami berpelukan beramai-ramai berpaut pada pelampung itu sebelum ternampak kediaman di atas bukit.

"Ada sebuah keluarga di situ dan mereka memberikan kami kuih baulu, kain batik dan lampin pakai buang bayi. Alhamdulillah kami berjaya diselamatkan kira-kira jam 1.30 petang semalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Proton Exora milik Nur Hidyah yang 'terendam' dalam banjir.
Proton Exora milik Nur Hidyah yang 'terendam' dalam banjir.

Dalam pada itu, Rohaida berkata, ketika dibawa keluar air banjir sudah semakin surut, namun kenderaan mereka masih terendam separuh.

"Kami tidak sempat menyelamatkan sebarang bekalan makanan dan pakaian yang ada dalam kenderaan dan di bawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru Kepis," katanya.

Sementara itu, kakaknya, Nur Hidayah, 35, reda kenderaannya terpaksa dihantar ke bengkel untuk dibaiki dan menggunakan kereta Proton Saga lama untuk membawa barang-barang berniaga buat sementara waktu ini.

Setakat jam 4.15 petang ini, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan seramai 2,004 mangsa banjir daripada 574 keluarga kini berada di 14 PPS yang dibuka di tiga daerah di Negeri Sembilan yang terjejas banjir susulan hujan berterusan sejak Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!