RISDA bantu tingkat keupayaan usahawan pekebun kecil getah

Manndzri (tengah) bergambar bersama peserta Program RISDA RGBC Peringkat Akhir Tahun 2024 di Pusat Latihan RISDA, Port Dickson pada Jumaat.
Manndzri (tengah) bergambar bersama peserta Program RISDA RGBC Peringkat Akhir Tahun 2024 di Pusat Latihan RISDA, Port Dickson pada Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah membelanjakan RM39.7 juta sehingga November tahun ini bagi meningkatkan keupayaan seramai 8,191 usahawan pekebun kecil getah di seluruh negara.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, ia melebihi sasaran awal iaitu sebanyak 8,045 usahawan yang menerima manfaat sekali gus menunjukkan kejayaan pihaknya memastikan setiap program dilaksanakan sampai kepada golongan sasar.

“Antara pencapaian utama RISDA ialah melahirkan seramai 1,077 usahawan baharu menerusi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan melalui program pembangunan, pengembangan dan pemasaran usahawan pula berjaya mencapai 5,210 penerima manfaat iaitu melebihi sasaran 4,545 orang.

“Di bawah program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula telah mencapai 1,904 penerima latihan berbanding 1,000 peserta awal yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas merasmikan Program RISDA Groom Big Challenge (RGBC) Peringkat Akhir Tahun 2024 di Pusat Latihan RISDA, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, menerusi program berkenaan, RISDA bukan sahaja membantu pekebun kecil meningkatkan taraf hidup mereka tetapi juga melahirkan usahawan yang berpotensi untuk bersaing di peringkat global.

Jelasnya, kejayaan itu membuktikan inisiatif yang dilaksanakan RISDA telah memberi impak besar terhadap masyarakat luar bandar.

Selain itu katanya, program RGBC terus menjadi landasan penting untuk meningkatkan keupayaan perniagaan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Setakat enam kali penganjurannya, seramai 174 peserta terlibat dan telah mencatatkan prestasi jualan keseluruhan sebanyak RM110.9 juta, berbanding bantuan RM8.65 juta disalurkan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bidang makanan merupakan penyumbang utama dengan nilai jualan sebanyak RM49.8 juta diikuti perkhidmatan (RM39.5 juta), pembuatan (RM19.3 juta), dan pertanian (RM2.2 juta).

Tambahnya, purata pendapatan bersih setiap usahawan mencecah RM19,123.61 sebulan dengan purata jualan lebih RM63,000.

“Ini membuktikan keberkesanan program ini dalam meningkatkan taraf ekonomi peserta malah turut berjaya melahirkan usahawan yang berpotensi menjadi usahawan anchor dalam rantaian nilai ekonomi,” katanya.

Ulasnya, ketika ini RISDA memfokuskan kepada program pembangunan menyeluruh kepada penerima manfaat bagi mencapai standard pensijilan halal diiktiraf.

Jelasnya, daripada 32 yang membuat permohonan mendapatkan sijil halal, tujuh daripadanya telah berjaya dengan melibatkan perbelanjaan RM140,000.

“Ia selaras dengan penekanan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai kepentingan memperluas industri halal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!