'Tak perlu timbul cadangan tukar nama UPM' - Naib Canselor
SERDANG - Cadangan penukaran nama Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak seharusnya timbul kerana nama yang dibawa sejak tahun 1997 itu berjaya menjadikan UPM universiti terulung dalam negara.
Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, beliau bersetuju dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana ia membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’.
Beliau mengakui ketika pertukaran nama pertama kali dibuat universiti itu berkembang dan melangkaui aspek pertanian.
“Tetapi kita harus akur bahawa DNA kita masih pertanian. Kitalah pejuang kepada pertanian.
“Jadi, sebab itu kita perlu meletakkan agenda pertanian itu penting tetapi tak semestinya menukar nama, sebab kebanyakan universiti yang hebat dalam pertanian ini tak perlu pun ada nama pertanian itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai titah Sultan Selangor yang juga Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan dengan cadangan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Jelas Ahmad Farhan, cadangan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) sudah banyak kali berlaku.
“Sebenarnya satu pengiktirafan apabila Kementerian Pertanian dan keterjaminan Makanan (KPKM) melihat UPM berpotensi menggerakkan agenda pertanian negara.
“UPM memang sudah sinonim dengan pertanian, cuma kita nak perkasakan dan agenda pertama ialah dengan menghasilkan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM," katanya
Ahmad Farhan berkata, Blueprint Keterjaminan Makanan UPM 2024 telah bergerak dan UPM mengetuai Nexus Keterjaminan Makanan mewakili 20 universiti awam dan tujuh institut pengajian tinggi swasta.
“Jadi ini satu sinergi yang kita ingin gerakkan agenda pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai pergerakan yang berbentuk konsortium dan menggunakan blueprint yang UPM keluarkan. Itu hadiah UPM kepada dunia,” katanya
Majlis pelancaran Blueprint Keterjaminan Makanan UPM oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada Jun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!