Agensi kerajaan, GLC diminta bantu mangsa banjir

Amir Hamzah
Amir Hamzah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Kewangan sudah mengarahkan agar agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu mangsa banjir khususnya di kawasan negeri pantai timur yang terjejas teruk.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, situasi banjir di seluruh negara yang kini sudah melebihi angka 100,000 orang memerlukan sokongan rakyat Malaysia dan kerajaan sentiasa memberikan bantuan.

Jelasnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut turun padang meninjau keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu menunjukkan keprihatinan kerajaan.

"Minggu ini pula Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan ke Pantai Timur untuk meninjau sendiri keadaan banjir dan salurkan bantuan.

"Kerajaan memang salurkan dana bantuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk bantu mangsa banjir yang terkesan. Insya-ALLAH, kita akan bantu jika ada isu berbangkit.

"Saya juga sudah minta pertolongan dari GLC di bawah Kementerian Kewangan supaya berganding bahu membantu mangsa banjir yang terjejas menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di waktu mereka memerlukan bantuan dan sokongan," katanya.

Amir Hamzah melawat reruai Karnival My Pesara KWAP di Padang Akasia, Angsana Mall JB pada Sabtu.
Amir Hamzah melawat reruai Karnival My Pesara KWAP di Padang Akasia, Angsana Mall JB pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mewakili Perdana Menteri melancarkan Karnival My Pesara KWAP di Padang Akasia, Angsana Mall JB pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed.

Pada 18 Oktober, Perdana Menteri dilaporkan mengarahkan penyaluran segera peruntukan hampir RM600 juta untuk NADMA sebagai persiapan mendepani musibah banjir termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan bagi persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

Selain itu, peruntukan RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), untuk memulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di bandar yang terkesan banjir, turut diarah disalurkan segera.

Pada Sabtu, kerajaan dilaporkan sudah mengagihkan dana banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir di seluruh negara bermula Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dilaporkan berharap pengagihan bantuan berkenaan, terutama bantuan tunai akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya.

Mangsa banjir di seluruh negara dilaporkan meningkat hampir 10,000 dalam tempoh dua jam, menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 130,957 dengan 39,268 keluarga setakat tengah hari Sabtu.

Kelantan dan Terengganu masih mencatatkan jumlah tertinggi manakala lima lagi negeri, Kedah, Selangor, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor turut menunjukkan peningkatan ketara

Di Kelantan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir menunjukkan trend menaik kepada 85,718 orang dengan 284 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 jajahan berbanding 82,447 orang di 279 PPS pagi Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!