'Saya nampak adik bawah runtuhan, menangis kesakitan'

Abdul Raziq yang bersedih atas kematian dua adiknya ditenangkan ahli keluarga.
Abdul Raziq yang bersedih atas kematian dua adiknya ditenangkan ahli keluarga.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Mangsa cedera dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini berkongsi detik cemas ketika berusaha menyelamatkan adik perempuannya sebelum dia tidak sedarkan diri.

Uzair Azman, 17, berkata, dia sempat mendengar jeritan serta melihat salah seorang adik perempuannya berada di bawah runtuhan dan menangis kesakitan.

Menurutnya, ketika itu abangnya, Abdul Raziq Azman,18, yang berada di dalam bilik berjaya menyelamatkan diri dan menjerit meminta tolong.

Uzair
Uzair

"Ketika kejadian saya berada di rumah jiran namun secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi runtuhan tanah diikuti jeritan meminta tolong.

"Saya bergegas pulang dan meluru masuk ke dalam rumah bantu selamatkan adik-adik, malangnya tidak berjaya.

"Waktu saya berusaha alihkan sisa runtuhan tanah tu, saya tiba-tiba tidak sedarkan diri dan hanya sedar ketika sudah berada di hospital," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Panggong, Ajil, di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejadian runtuhan tanah itu berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh yang amat singkat menyebabkan kelibat salah seorang adiknya hilang daripada pandangan.

"Dalam keadaan kelam-kabut itu saya mendengar adik-adik saya menjerit. Saya juga nampak kelibat salah seorang daripada mereka beberapa ketika sebelum terus tertimbus setelah ditimpa satu lagi runtuhan besar," ujarnya.

Uzair yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik turut dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan dibenarkan pulang jam 11 malam pada Jumaat.

Kata Uzair, ketika kejadian, ibunya, Ruziah Fuad, 46, tiada di rumah.

Ruziah (tengah) terpaksa dipapah kerana rebah beberapa kali selepas urusan pengebumian dua anaknya di Tanah Perkuburan Kampung Panggong, Ajil di Hulu Terengganu, pada Sabtu.
Ruziah (tengah) terpaksa dipapah kerana rebah beberapa kali selepas urusan pengebumian dua anaknya di Tanah Perkuburan Kampung Panggong, Ajil di Hulu Terengganu, pada Sabtu.

Sementara itu, abang sulungnya, Aminuddin Azman, 25, berkata, walaupun masih terkejut dan bersedih, dia pasrah kejadian menimpa.

"Ibu dan adik saya (Abdul Raziq) kelihatan sangat trauma dan bersedih dengan tragedi menimpa.

"Tragedi yang berlaku memberikan kesan amat mendalam buat ibu. Saya hanya mampu berdoa agar semangat ibu dan adik lelaki saya kembali pulih," katanya yang kehilangan bapa, Azman Ab Latif, 50, akibat strok dan sakit jantung.

Katanya, sejak bapa mereka tiada, ibunya mengambil peranan menjadi ketua keluarga dengan bekerja sebagai penjual kuih.

"Rumah yang didiami baru disewa sejak setahun lalu. Sebelum ini menyewa di rumah lain, saya pula tinggal berasingan di kampung ini juga kerana telah mendirikan rumah tangga," ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit di sini kira-kira jam 4.30 petang Jumaat.

Mangsa pertama, Uzair Azman, 17, ditemui selamat di bawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu rumah, jam 5.17 petang.

Mayat Puteri Sajidah ditemui jam 6.32 petang dan adiknya, Siti Fatimah pula ditemui jam 6.59 petang, dalam keadaan tertimbus di bawah runtuhan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!