Maybank tawar Bantuan Kewangan Banjir
MAYBANK menawarkan Bantuan Kewangan Banjir kepada pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meringankan beban mereka yang terkesan.
Maybank menerusi satu kenyataan berkata, bantuan tersebut direka untuk menangani cabaran dihadapi mangsa banjir dan akan merangkumi antara lain, penangguhan bayaran pembiayaan atau pinjaman, serta pengurangan ansuran bulanan atau lanjutan tempoh pembayaran balik.
"Pelanggan boleh memohon Bantuan Kewangan Banjir melalui dua saluran mudah seperti emel ke floodrelief@maybank.com dengan menyertakan nama/nama syarikat, nombor kad pengenalan/pendaftaran perniagaan, nombor telefon, jenis pinjaman/produk (contoh: Pinjaman Perumahan, Pembiayaan Sewa Beli, Pembiayaan Pinjaman Berjangka); Nombor kenderaan (untuk Pembiayaan Sewa Beli).
"Pelanggan juga boleh kunjungi atau hubungi mana-mana cawangan kami, Pusat Perbankan Komersial atau Pusat Pembiayaan Auto (yang berkaitan) di seluruh negara. Bagi pelanggan PKS, digalakkan untuk menghubungi pengurus perhubungan mereka untuk bantuan," katanya pada Sabtu.
Keadaan banjir di beberapa negeri terus memburuk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 142,684 orang petang ini berbanding lebih 120,000 pagi tadi, selain telah mengorbankan empat nyawa setakat ini.
Tambah kenyataan tersebut, Maybank juga menawarkan pengecualian yuran dan caj bagi perkhidmatan terpilih seperti penggantian kad debit, kad mesin juruwang automatik (ATM) atau buku cek yang hilang atau rosak akibat banjir.
Sementara itu, jelasnya, cabang insurans Kumpulan Maybank, Etiqa, telah menyediakan proses tuntutan yang cepat dan mudah kepada pemegang polisi insurans serta sijil takafulnya tanpa memerlukan borang atau dokumen sokongan.
"Untuk membuat tuntutan, pemegang polisi atau sijil boleh hantar mesej teks, gambar atau video banjir kepada nombor WhatsApp 24 jam khusus Etiqa Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, Penang, dan Perlis di 011-1630 6646 dan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak di talian 018-226 3288.
"Mereka juga boleh hubungi talian utama tuntutan banjir Etiqa bagi Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, Penang, dan Perlis di 03-2692 8188, serta Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak di talian 03-4270 7735 / 03-4270 5068," katanya.
Sementara itu, untuk maklumat lanjut mengenai Bantuan Kewangan Banjir Maybank, orang ramai boleh layari www.maybank2u.com.my.
"Pelanggan juga boleh menghubungi talian utama khidmat pelanggan Kumpulan Maybank di 1-300-88-6688 untuk bantuan lanjut," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!