Lelaki autisme ditemukan lemas

Seorang lelaki autisme yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada Khamis, ditemukan lemas di anak Sungai Keluang Hilir. Foto hiasan
Seorang lelaki autisme yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada Khamis, ditemukan lemas di anak Sungai Keluang Hilir. Foto hiasan
A
A
A

JERTIH - Seorang lelaki autisme yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada Khamis, ditemukan lemas di anak Sungai Keluang Hilir, berhampiran Sekolah Menengah Imtiaz Besut di Kampung Raja dekat sini, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat Muhammad Helmi Azman, 26, pada 11.44 pagi.

"Mayat mangsa ditemui tersangkut pada dahan pokok di anak sungai tersebut dan mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam berdasarkan keadaan mayatnya,” katanya dalam kenyataan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, sebelum ini polis menerima laporan daripada ibu mangsa memaklumkan anak lelakinya keluar dari rumah di Taman Pesiaran Limbongan iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa ditemukan.

Sementara itu, Senah Othman, 64, berkata, anaknya keluar dari rumah antara pukul 2.30 hingga 4 petang ketika dia sedang tidur.

"Anak saya penghidap autisme kronik kerana dia tidak mampu bercakap dan kalau terlepas keluar memang dia tidak tahu jalan untuk pulang ke rumah.

"Sejak hilang, setiap hari pencarian dilakukan penduduk kampung dan ahli keluarga namun dia hanya ditemui hari ini dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Hospital Besut di sini hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!