MB Kedah, keluarga pindah, kediaman rasmi ditenggelami air
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan ahli keluarganya terpaksa berpindah ke tempat lebih selamat berikutan kediaman rasmi beliau di Seri Mentaloon terus ditenggelami air akibat limpahan air Sungai Anak Bukit pada Sabtu.
Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid berkata, keputusan itu dibuat selepas paras air di kediaman terbabit meningkat bermula sejak pagi dan menghampiri satu meter pada petang.
"Paras air mula meningkat sejak pagi tadi, petang ini paras air di kediaman Menteri Besar mencapai paras pinggang (hampir satu meter).
"Susulan itu, Menteri Besar membuat keputusan untuk berpindah lebih awal ketika tengah hari ke tempat yang lebih selamat," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Bagaimanapun, Helmi tidak berkongsi lokasi Muhammad Sanusi dan keluarganya berpindah.
Sementara itu, melalui video Tik Tok dikongsi Helmi, kelihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu yang menggendong anak perempuannya keluar daripada kediaman itu.
Turut kelihatan, isteri beliau, Tok Puan Seri Jusmalailani Jusoh dan anak-anak mereka yang mengangkat beg.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah turut terjejas akibat banjir yang melanda beberapa daerah termasuk Alor Setar.
Kediaman rasmi tersebut yang terletak kira-kira 100 meter dari tebing Sungai Anak Bukit telah mula dimasuki air pada awal pagi Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!