Bersatu yakin tawan lebih lima kerusi, bentuk kerajaan negeri Pahang
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin bakal menawan lima atau enam lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk membentuk kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, kerusi yang dijangka bakal dirampas itu memiliki majoriti Melayu.
“Di Pahang ini, kawasan DAP ada lapan kerusi dan selebihnya memang kawasan Melayu. Alternatif kepada UMNO dahulu.
“Keyakinan saya ini disebabkan Bersatu merupakan salah satu komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan di Pahang, untuk PN menang, insya-ALLAH boleh diberi kepercayaan.
“Ini kerana, Bersatu dan Pas tidak boleh bertanding bersendirian dan perlu komponen PN yang merupakan alternatif kepada Barisan Nasional (BN) di Pahang,” katanya semasa sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN yakin mampu merampas tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Selangor pada PRU16.
Menurutnya, ia berdasarkan sokongan rakyat kepada PN di ketiga-tiga negeri terbabit semakin bertambah.
Sementara itu, Jasri berkata, keyakinan untuk menawan Perak dan Selangor disebabkan kerusi yang boleh dimenangi itu bukan satu jumlah besar.
“Perak perlukan empat kerusi dan Selangor perlukan tujuh kerusi, jadi memang sikit yang boleh dimenangi.
”Kita akan buat kerja yang boleh kita mencapai tujuan (menang kerusi) dari segi politik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!