Banjir: Tiga beranak terperangkap dalam rumah lebih 4 jam
KOTA BHARU - Hujan lebat dua hari lalu mengakibatkan tiga beranak di Kampung Pak Kerai, Tumpat terperangkap di dalam rumah ditengah bendang lebih empat jam sebelum dibantu seorang pemilik bot.
Umi Umairah Saudi, 27, berkata, ketika itu dia bersama ibunya, Ruhani Che Abdol, 56, yang sudah uzur serta seorang anak saudara berusia sembilan tahun.
Menurutnya, air mula memasuki rumah mereka pada jam 1 pagi dan naik dengan cepat sehingga mencecah sedalam 0.3 meter.
"Kami memang tidak menyangka banjir berlaku di kawasan itu kerana sebelum ini tidak pernah dinaiki air," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Panik dengan keadaan air yang naik mendadak, bakal doktor itu mengambil keputusan memuat naik satu 'posting' dalam kumpulan komuniti Facebook memaklumkan mereka memerlukan bantuan.
"Alhamdulillah, selepas beberapa minit, ada pemilik bot datang membantu kami walaupun sudah kepenatan berusaha memunggah penduduk lain sebelum itu," katanya.
Umi Umairah yang sedang menunggu untuk mendaftar bertugas di sebuah hospital di negeri ini mengakui tidak mampu bertahan apabila air sudah mencapai lebih 0.5 meter di dalam rumah kira-kira jam 5 pagi dan menyukarkan ibunya untuk bergerak.
Katanya lagi, mereka sekeluarga tidak dapat meredah banjir kerana keadaan terlalu gelap dan air deras selain mungkin sudah mencecah satu meter.
"Mungkin kami juga tidak akan selamat jika keluar dari rumah kerana terpaksa berjalan sejauh 500 meter untuk ke jalan utama.
"Lebih menakutkan juga, penanda di tali air sepanjang laluan keluar juga sudah ditenggelami air," katanya lagi.
Umi Umairah memberitahu, bencana itu turut mengakibatkan kereta Honda City, Honda Jazz dan Toyota Harrier di rumahnya ditenggelami air manakala dua kucingnya hilang.
Tambahnya, ketika mereka sekeluarga sedang diselamatkan, masih ada lagi penduduk yang terperangkap tetapi berharap mereka menerima bantuan dengan cepat.
Jelas beliau, mereka kini berlindung di kedai makan milik ibunya di bandar Tumpat dan turut menumpangkan mangsa banjir lain.
"Pagi tadi saya dimaklumkan laluan ke rumah saya juga sudah tidak dapat dilalui kerana air terlalu laju," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!