Perak FC bergaya ke suku akhir Piala Malaysia

Aksi perlawanan di antara Perak FC dengan KDN FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Sabtu.
Aksi perlawanan di antara Perak FC dengan KDN FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Sabtu.
A
A
A

MANJUNG - Perak FC melangkah penuh bergaya ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan agregat 6-1.

Anak buat Yusri Che Lah sebelum itu menepati ramalan apabila membenam skuad Pantai Timur itu dengan kemenangan 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Sabtu.

Minit awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan seimbangan dengan masing-masing berusaha memburu gol dengan beberapa gerakan menarik.

Perak FC berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-9 menerusi penyerang mereka, Clayton Da Silva selepas menerima umpanan Azfar Fikri.

Tersentak dengan jaringan tersebut KDN FC menggandakan asakan dengan percubaan Jasmir Mehat terus ke gawang lawan namun rembatannya melepasi palang gol.

Minit ke-35 Perak FC sekali lagi menambah jaringan menerusi tandukan Wan Zack Haikal yang berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Fikri Che Soh mengubah kedudukan menjadi 2-0.

Tamat separuh masa pertama menyaksikan Perak FC kekal mendahului perlawanan dengan dua jaringan tanpa balas.

Bersambung babak kedua, Perak FC hampir memperoleh gol menerusi percubaan pemain import Korea Selatan, Lee Tae-min yang masuk menggantikan Adilet Kanybekov namun rembatannya dinafikan tiang gol.

Artikel Berkaitan:

Peluang terbaik KDN FC menjaringkan gol muncul pada minit ke-50 menerusi penyerang, Adam Daniel namun rembatan kencangnya berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Ramdhan Ab Hamid.

Berselang beberapa minit kemudian, KDN FC membuat pertukaran pertama dengan memasukkan Hakimi Abdullah dan mengeluarkan Fazrul Amir.

Gol ketiga Perak FC muncul pada minit ke-58 apabila hantaran Clayton berjaya disudahkan Ariff Ar-Rasyid sekaligus menambah derita pelawat.

KDN FC memperoleh jaringan tunggal menerusi pemain mereka Adam Danial akibat kesilapan pemain tuan rumah pada minit ke-85 sekaligus mengubah kedudukan menjadi 3-1.

Kemenangan tersebut disaksikan 1,871 orang penyokong yang turun menyaksikan perlawanan berkenaan di stadium berkenaan.

Pada 23 November lalu, Perak FC membuka gelanggang kempen Pusingan 16 Piala Malaysia dengan rentak kemenangan apabila membelasah KDN FC FC, 3-0.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!