Kian bersinar di tanah seberang
BAGI pemain industri seni, sejak dahulu lagi sudah diketahui bukan mudah untuk sesebuah karya mahupun artis Malaysia menembusi pasaran di tanah seberang.
Namun kini keadaan nampaknya semakin berubah apabila beberapa anak seni tempatan berjaya menembusi industri hiburan Indonesia.
Bukan sekadar tempelan, sebaliknya diberi kepercayaan mengemudi sesebuah naskhah. Contohnya seperti pelakon muda, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling atau lebih dikenali sebagai Anna Jobling.
Pantas mendapat perhatian penerbit dan pengarah di Indonesia, bintang berusia 24 tahun itu diberi kepercayaan membawa peranan utama dalam dua filem berbeza.
Salah satunya ialah filem seram, Lembayung arahan bintang popular Indonesia, Baim Wong. Menjayakan watak hantu bernama Tantri, kejayaan Anna menterjemahkan karakter itu dengan cukup baik telah membuka mata ramai orang.
“Faktor utama saya bersetuju menjayakan filem ini disebabkan saya mahu tunjuk kepada semua bahawa Anna Jobling bukan seorang pelakon yang sentiasa dapat watak perempuan cantik, ayu, baik atau watak dramatik.
“Bila dapat bawa watak hantu, saya tidak mahu jadi hantu cantik. Saya buat betul-betul, ambil masa cari karakter, rasa dan tukar penampilan.
“Saya harap saya berjaya tunjukkan saya boleh beri variasi dalam lakonan,“ katanya yang mengambil masa lebih tiga jam untuk bersiap dan membersihkan solekan hantunya.
Anna berkata demikian ketika ditemui pada majlis malam gala filem Lembayung di Tropicana Gardens Damansara baru-baru ini.
Ekoran persembahan mantap tersebut, bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 itu mengakui dihujani tawaran berlakon di Indonesia.
Bagaimanapun, anak seni berdarah kacukan Inggeris-Melayu itu tidak sesekali melupakan kerjaya seni di negara sendiri.
“Alhamdulillah, memang dapat banyak tawaran tetapi saya juga perlu susun jadual sebaiknya. Tidak dinafikan dalam tempoh itu ada tawaran menarik yang terpaksa di lepaskan sama ada di Malaysia atau Indonesia.
“Pada masa sama, saya bertuah kerana produksi di sana menghormati setiap permintaan saya seperti ketegasan dalam berpakaian dan juga adegan yang tidak bersesuaian,“ ujarnya yang akan menjalani penggambaran sebuah siri dan dua filem di Indonesia pada tahun depan.
Ditanya tidakkah dia mahu membeli sebuah rumah di Indonesia bagi memudahkan urusan, Anna enggan terburu-buru untuk berbuat demikian.
Sementelah katanya, dia masih mempunyai tuntutan dan tanggungjawab di negara sendiri.
“Saya tidak pernah merancang untuk meninggalkan kerjaya di sini, saya masih ingat bagaimana bermula dan macam mana dapatkan platform di sini.
“Saya tidak mahu terburu-buru tetapi pada masa sama tidak salah untuk pasang impian memiliki kediaman sendiri di Indonesia,“ jelasnya.
Momen mistik
Sementara itu, berkongsi pengalaman menjalani penggambaran filem Lembayung, Anna berkata, dia berasa sangat bertuah kerana sempat menimba ilmu dengan pelakon senior yang juga guru lakonan, Allahyarham Yayu Unru.
Katanya, sebulan selepas mengikuti kelas lakonan bersama aktor veteran itu, Yaya Unru atau nama sebenarnya, Andi Wahyuddin Unru, 61, meninggal dunia.
“Banyak yang saya pelajari daripada arwah. Beliau mengajar saya cara merangkak yang betul, perkembangan watak dan sebagainya.
“Semua yang saya pelajari daripada arwah, saya gunakan sepenuhnya ketika menterjemahkan watak Tantri. Setiap apa yang diajar, semua saya catat dalam nota dan ia sangat berguna buat saya,“ kata Anna.
Tambah bintang yang meledak menerusi siri Melur Untuk Firdaus itu, demi memastikan watak yang dijayakan dilakukan dengan sebaiknya, Anna berkata, dia meminta kebenaran pengarah dan kru produksi untuk digantung betul-betul.
“Dalam filem ini, ada satu babak saya dijumpai tergantung, jadi untuk mendapatkan rasa yang sebenar, saya beritahu Baim supaya gantung saya betul-betul agar saya dapat jiwai babak tersebut dengan sebaiknya.
“Saya percaya pada kru yang terlibat dan syot itu tidak lama, jadi saya tahu bagaimana untuk kawal pernafasan dan diri pada ketika itu,“ ujarnya yang tidak menafikan berdepan momen mistik ketika berada di lokasi penginapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!