Anak minta mak masak, rakan sekolah rindu air tangan ibu
SHAH ALAM - Tiada yang lebih menggembirakan buat individu yang bergelar anak apabila dapat merasakan masakan air tangan ibu.
Begitu kisah menyentuh hati yang dikongsikan pekerja swasta, Norjana Abdul Samat, 48, berkenaan, anaknya, Mohamad Danish Akasyah Mohd Masria, 19, atau mesra disapa adik yang meminta dia menyediakan hidangan kerana rakan sekolahnya merindukan masakan ibu.
Menurutnya, permintaan rakan anaknya yang hanya ingin dikenali sebagai Adam itu berikutan ibunya sudah meninggal dunia manakala bapa pula sedang menjalani hukuman di penjara.
"Adik kata kepada saya, ibu boleh tak masak untuk kawan adik? Kawan adik dah lama tak rasa masakan ibu.
"Mak kawan adik dah meninggal, ayah dia kat penjara. Sekarang paksu dia yang tanggung," katanya.
Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia berasa sebak selepas mendengar permintaan anak bongsunya.
Menurut Norjana, dia kemudian menyediakan hidangan spageti carbonara untuk Adam dan beberapa rakan anaknya yang berada di asrama kerana menyambung pengajian Tingkatan Enam di salah sebuah sekolah di Pahang.
"Permintaan Adam selalu bermain di kepala, tak lena tidur dibuatnya selagi tak tunai permintaan. Saya juga sangat-sangat berterima kasih pada Adam.
“Kalau bukan sebab permintaan ni, saya sendiri tak sedar rupanya dah setahun saya tak masak untuk anak saya. Rupanya ALLAH dah atur cantik dah apa yang menimpa Adam, mesti ada hikmah di sebaliknya.
"Adam juga sempat berterima kasih kepada saya dan minta supaya mendoakannya kerana dia sudah tidak ada doa daripada mak,” luahnya.
Setakat Sabtu, video tersebut telah mendapat lebih 60,000 tanda suka dan 1,800 yang berkongsi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!