Novel sejarah: Antara fakta dan sastera

Novel sejarah yang mendapat johan setiap siri sayembara.
Novel sejarah yang mendapat johan setiap siri sayembara.
A
A
A

NOVEL ialah buku penulisan kreatif ketimbang buku sejarah yang dilumuri segala fakta.

Harus senget kepala apabila diminta menulis seguni fakta daripada hitam putih keterangan menjadi novel yang penulisannya memerlukan kreativiti estetika.

Namun, Tuhan itu Maha Kaya telah merahmahkan sekelumit ilmu-Nya kepada insan pengarang disukai-Nya maka terhasillah beberapa karya dikenali sebagai novel sejarah yang mewarnai pelangi penulisan sastera tanah air.

Kita bercakap dalam konteks Sayembara Menulis Novel Sejarah Untuk Remaja, anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) yang telah melewati tiga siri dari 2015 (siri pertama), tahun 2019 (siri ke-2) dan terkini 2022/2023 (siri ke-3).

Objektif penganjur untuk memperoleh novel sejarah berwajah Malaysia berdasarkan kajian dan penyelidikan sejarah tempatan, di samping memperbanyakkan novel sejarah untuk bacaan remaja. Setelah tiga siri sayembara diadakan, objektif penganjur berjaya dipenuhi.

Lazim objektif sayembara novel terdahulu (bukan novel sejarah) ialah untuk melahirkan novelis berjenama tetapi penganjuran sayembara ini tidak mengutamakan perkara itu, sebaliknya penganjur hendak melihat sejarah bangsa dibukukan dalam bentuk prosaik yang menarik hati membacanya.

Namun, pencapaian sesetengah karya yang menang membosankan kerana pengarang terkongkong berkarya sebab terpaksa memuatkan segala fakta sejarah, akhirnya mengabaikan ciri-ciri penulisan novel.

Novel harus bergerak mengikut struktur - ada plot, plot sampingan, perwatakan, kata bual, kebijaksanaan (wisdom atau pemikiran), kemuncak, peleraian dan sebagainya yang mengupas satu isu utama yang bulat dengan kekuatan imaginasi serta naratif padat yang bersastera.

Artikel Berkaitan:

Justeru pertelagahan juri mungkin timbul akibat jurus pandang yang berbeza. Orang sejarah menilai dari sudut fakta hitam putih, manakala orang sastera mempertahankan nilai-nilai kreativiti dan estetika tetapi bagi memenuhi syarat penganjur karya wajib mementingkan sumber rujukan autentik dan dokumen rasmi.

Penulisan sastera menghalalkan sumber lisan, sebaliknya sektor sejarah mengabaikan.

Penciptaan karya sastera bernaratif dengan simbolisme walhal bidang sejarah berpegang kepada keterangan hitam putih. Dari sudut manakah wujudnya persamaan dalam menghasilkan karya yang dikenali sebagai novel sejarah?

Dalam kalangan penjurian pun sudah bersarang dualisme tanggapan terhadap satu-satu karya itu, akhirnya karya bagaimanakah sepatutnya diangkat sebagai pemenang?

Penulisan novel memerlukan cerita yang kuat, saling berkait antara satu bab ke bab lain dengan plot yang berkembang digerakkan oleh watak-watak terpilih dalam sejarah (tidak semestinya pelaku sejarah) sehingga pembaca akhirnya memahami sejarah sebenar walaupun dipenuhi imaginasi dan perlambangan.

Penciptaan novel tradisional mesti ada wira bergandingan dengan wirawati untuk mengembangkan cerita tetapi bagi novel kontemporari, ciri-ciri itu diabaikan sebaliknya menumpukan fungsi protagonis dan antagonis sebagai ejen penggerak cerita di bawah kawalan pengarang.

Oleh hal yang demikian dalam penciptaan novel, sejarah peranan wira atau wirawati tidak begitu dipentingkan sebaliknya dalam sayembara ini, novel menghidangkan cerita sejarah secara kronologi diangkat sebagai pemenang.

Misalnya novel bertajuk Mengukir Larut (2016:DBP) karya Amer Hmzah L Kadir (juara siri pertama) mengisahkan Perang Larut dengan meletakkan puak kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San sebagai protagonis dan antagonis mengikut rekod sejarah, manakala Demi Tanah Qalha (2021:DBP) tulisan Salina Ibrahim (juara siri ke-2) mengabaikan fungsi protagonis atau antagonis.

Malah, novel juara siri ketiga, Di Perdua Serambi (2024:DBP) karya Mazny M R hanya menimbulkan fungsi protagonis sahaja, Tok Janggut dalam menggerakkan cerita sejarah di Kelantan.

Ketiga-tiga novel pemenang sayembara ini berjaya menghidangkan cerita sejarah secara kronologi yang kelihatan bersifat buku sejarah walaupun memasukkan kata-bual di samping teknik perwatakan tetapi agak terhalang dengan tindak-tanduk watak atau pelaku sejarah (tokoh) dalam sejarah sebenar.

TIDAK BEBAS BERKARYA

Hal itu menyebabkan pengarang tidak bebas berkarya kerana terlampau mengikut kronologi sejarah sebenar. Justeru, pengarang terjebak dengan seguni fakta sehingga mengabaikan ciri-ciri penulisan sebuah novel.

Setiap kali sayembara, penganjur memilih tiga hadiah utama dan lima hadiah sagu hati, dan ke semua novel itu diterbitkan oleh DBP.

Contoh siri pertama Mengukir Larut oleh Amer Hmzah L Kadir (johan), Puteri Negeri Rindu karya Rahimah Muda (naib johan) dan Awang Kembara Mengelilingi Dunia oleh Kamaludin Settar (ketiga).

Hadiah sagu hati antaranya ialah Jene (Kasajiza A S), Malaysia Milik Kita (Nor Azida Ishak) dan Raja Asal Permata di Bumi Kuala Lumpur (Kamurulzaman Jaafar). Siri kedua, Demi Tanah Qalha karya Salina Ibrahim (johan), Aku Lelaki Bernama Rosli oleh Amer Hmzah L Kadir (naib johan), Cinta Bangsawan oleh Salmiah Kasmuni (ketiga), hadiah sagu hati Sungai Manik Berdarah (M Zaki Arif); Mengukir Mahkota Perak (Hasiah W Ali); Sultan Abdullah di Pulau Seychelles (Kamarulzaman Jaafar); Istana Menghadap Laut (Nazri Hussein) dan Wira Demokrasi (Nor Azida Ishak).

Pemenangan siri ketiga, johan ialah Di Perdu Serambi (Mazny M R), naib johan Cinta Natrah (Nazri Hussein), ketiga Leftenan Adnan Perwira Bangsa (Amer Hmzah L Kadir), manakala hadiah sagu hati Ketika Itu di Bekor (M Zaki Arif), Malim (Kamaruzaman Jaafar), Di Bawah Langit Ihsan (Salina Ibrahim), Kesidang (Abdullah Fathi Ghazzali) dan Hari Pertama Bulan Baharu (Jong Chian Lai).Sepanjang tiga siri sayembara berlangsung, Amer Hmzah L Kadir dan Kamaruzaman Jaafar memenangi hadiah pada setiap siri, manakala beberapa orang penulis pula memenangi hadiah bagi dua siri seperti Salina Ibrahim, Nazri Hussein, M Zaki Arif dan Nor Azida Ishak.

Kemenangan karya pada siri terkini terarah memperkatakan tokoh sejarah per ser ketimbang peristiwa. Misalnya, Di Perdu Serambi (Tok Janggut), Cinta Natrah, Leftenan Adnan, Di Bawah Langit Ihsan (Raja Mahadi), Kesidang (Raja Kecil), Malim (Mustapha Hussein) manakala yang membicarakan peristiwa sejarah hanya dua novel iaitu Ketika Itu di Bekor (Perang Bekor) dan Hari Pertama Bulan Baharu (episod penentangan penjajah di Sarawak).

Daripada novel Mengukir Larut hingga Di Perdu Serambi, corak penulisannya hampir sama.

Apakah sayembara siri ke-4 seandainya dilaksanakan, terpilihkah novel yang menghidangkan cerita sejarah secara kronologi atau memilih novel yang mengungkap cebisan sejarah diplotkan oleh pengarang mengikut adab dan kerukunan penulisan sesebuah novel? Harus bersedialah menanti lagi dua tahun!

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!