Sancho dicabar tampil lebih cergas
TONGGAK pinjaman Chelsea dari Manchester United, Jadon Sancho dicabar tampil lebih cergas mental dan fizikal sekiranya masih berhasrat membarisi kesebelasan utama The Blues, kata pengendali Enzo Maresca.
“Sejak awal lagi saya maklumkan bahawa Jadon sangat penting, jadi dia perlu cergas baik mental dan fizikal kerana dia akan banyak membantu kami.
“Malangnya, kami tidak menggunakan khidmatnya dalam beberapa perlawanan terakhir, namun dia menunjukkan betapa pentingnya dia kepada kami sekarang.
“Terutamanya ketika menentang pasukan yang lebih kepada corak bertahan, jadi kami memerlukan kualiti dia akan melakukan lebih banyak perkara bagi membantu kami,” kata Maresca.
Sancho sebelum ini menikmati permulaan baik bersama Chelsea, apabila meraih bantuan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas perpindahan secara pinjaman dari The Red Devils.
Namun keistimewaan itu ditarik semasa pertengahan perlawanan menentang Liverpool di Stadium Anfield, 20 Oktober lalu menyaksikan dia digantikan Pedro Meto pada minit ke-46 sebelum kemudiannya diketepikan kerana kecederaan.
Pemain sayap itu kembali daripada bangku simpanan sebagai pemain gantian ketika Chelsea menang 2-1 ke atas Leicester City dan kemudian meraih dua bantuan gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Heidenheim pada Liga Konferensi di Voith-Arena pada Jumaat.
Chelsea yang mengumpul 22 mata selepas mengharungi 12 perlawanan akan melayan kunjungan Aston Villa dalam aksi liga di Stadium Stamford Bridge pada Ahad.
LIGA PERDANA INGGERIS
AHAD (1 DISEMBER)
Chelsea lwn Aston Villa, 9. 30 malam
Tottenham Hotspur lwn Fulham, 9.30 malam
Manchester United lwn Everton, 9.30 malam
ISNIN (2 DISEMBER)
Manchester City lwn Liverpool, 12 tengah malam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!